MAKLUMAT TERKINI

Ejen Bola, Pemain Import 'Buat Malu' Liga Malaysia

14 April, 2015

AKSI Effa Owona (dua dari kanan) ketika membantu Negeri Sembilan menentang
FELDA United pada perlawanan Liga Perdana tahun lalu. - Foto NSTP


KUALA LUMPUR: Isu pertukaran pemain import dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) tidak lagi menjadi perkara pelik, malah ia semakin rancak ibarat 'menukar baju' di badan.

Walaupun keadaan itu boleh dianggap perkara biasa dalam bola sepak, yang menjadi persoalan kenapa ia berlaku terlalu awal, iaitu selepas enam atau tujuh perlawanan sama ada membabitkan Liga Super atau Liga Perdana, musim ini.

Yang menghairankan kebanyakan pasukan mengambil langkah bijak dengan menguji pemain import terbabit terlebih dahulu, tetapi selepas menandatangani kontrak, mereka gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan.

Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh yang pernah membimbing Pahang dan Selangor di Liga Super dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Liga Perdana sebelum ini berpendapat ada beberapa faktor menjadi punca ramai pemain import terpaksa disingkirkan lebih awal daripada pasukan masing-masing.

Beliau berkata, faktor utama kerana sikap pemain import itu sendiri yang terlalu mudah berpuas hati dengan prestasi mereka terutama apabila berada di kemuncak.

"Semuanya kerana sikap mereka sendiri.

Kebanyakan pemain import pada awalnya menyerlah dan bermain bersungguh-sungguh, tetapi bila sudah berada di kemuncak dan MENDAPAT perhatian, mereka mula mengada-ngada menyebabkan prestasi terganggu.

"Sebagai contoh, bekas pemain import Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona.

Dia mempamerkan aksi yang sangat hebat ketika musim pertama bersama pasukan itu dan saya sendiri pun terkejut dengan prestasinya.

Diambil tanpa diuji

"Bagaimanapun, selepas itu bila sudah lama dan dianggap sebagai pemain bintang, dia menjadi pemain paling teruk sekali," katanya sambil menyifatkan pasukan negeri atau kelab tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dalam pemilihan pemain import.

Selain itu, Dollah berkata, isu pemain tempatan gagal memberi sokongan yang baik kepada pemain import ketika di padang tidak timbul kerana pemain yang hebat akan dapat dilihat persembahannya walaupun tidak MENDAPAT bantuan sepenuhnya daripada rakan sepasukan.

"Mereka (pemain import) profesional dan tidak boleh salahkan rakan sepasukan, jangan nak salahkan pemain tempatan.

Mereka dibayar dengan nilai yang sangat tinggi.

Jika seseorang pemain itu benar-benar bagus, tanpa bantuan sesiapa pun kita boleh nampak dia hebat," katanya.

Dollah berkata, ada juga pemain import yang diambil tanpa diuji terlebih dahulu kerana kebijaksanaan ejen mempengaruhi pegawai pasukan.

"Kadang-kadang ejen mereka pun bijak juga mempengaruhi pegawai pasukan untuk mengambil pemain import yang mereka bawa tanpa diuji terlebih dahulu dengan menyatakan pemain itu bermain untuk kelab yang hebat di luar negara sedangkan mereka hanya pemain simpanan.

"Sebab itu, kebanyakan pasukan mengambil langkah bijak dengan menguji terlebih dahulu pemain import, cuma yang menjadi masalah adalah mereka beraksi baik ketika diuji, tetapi bila tiba hari perlawanan sebenar, aksi mereka menyakitkan hati," katanya.

Sumber - Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor; Naqib Nor Said Dan Mohd Khairie Khalid, bhsukan@bh.com.my, Berita Harian www.bharian.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur