MAKLUMAT TERKINI

UAE, Arab Saudi Anggap Harimau Malaya, Timor Misteri

15 April, 2015

Kuala Lumpur: Dua pasukan pilihan Kumpulan A kempen pra kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) cuba ‘berdiplomasi’ apabila menyatakan pasukan lawan termasuk Malaysia mampu memberikan ancaman kepada mereka.

Menurut jurulatih Arab Saudi Faisal Fahad Albadain, selain Palestin yang turut berada dalam kumpulan itu, mereka juga perlu memberi perhatian kepada Malaysia dan Timor Leste yang dilabel mempunyai kekuatan misteri.

“Ini kumpulan sukar kerana kami berdepan UAE dan Palestin. Kami kerap bertemu dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Tapi kami tidak tahu kekuatan Timor Leste dan Malaysia. Saya tidak pernah melihat pasukan ini beraksi,” katanya.

Kali terakhir Arab Saudi yang layak ke Piala Dunia sebanyak empat kali selain muncul juara Piala Asia tiga kali itu bertemu Malaysia adalah ketika mereka menang 4-1 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac 2013.

Sementara itu, jurulatih UAE Mahdi Ali Hassan Redha anggap saingan merebut juara kumpulan serta empat pasukan kedua terbaik untuk slot automatik pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018 dan pusingan akhir Piala Asia 2019 tetap seimbang.

“Peluang seimbang dalam Kumpulan A kerana semua pasukan lawan sukar. Saya tidak tahu kekuatan Malaysia sekarang walaupun kami pernah bertemu sebelum ini,” katanya.

Sumber - Oleh Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur