Tagih Ilmu Jepun
15 April, 2015
Kuala Lumpur: Dalam merealisasikan misi layak ke Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), skuad kendalian Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh akan ‘berguru’ di Jepun dalam masa terdekat.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya mengatur rancangan bersama Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) bagi membolehkan skuad kebangsaan mengadakan latihan di negara Matahari Terbit itu untuk menghadapi kempen pra kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2018 bermula Jun ini.
“Kita mungkin menghantar Dollah dan anak buahnya ke Jepun bagi menjalani persiapan di sana. Kita ada bincang dengan JFA untuk memberi keistimewaan kepada pasukan Dollah dalam masa terdekat untuk buat persiapan bersama mereka,” katanya.
Malaysia berdepan laluan mencabar pada pusingan kelayakan apabila diundi bersama UAE, Arab Saudi, Palestin dan Timor Leste dalam Kumpulan A.
Hamidin berkata, mara ke pusingan akhir Piala Asia lebih realistik bagi Harimau Malaya berbanding Piala Dunia.
Justeru, bagi memberi Dollah lebih masa bersama pemain, FAM bersedia menunda jadual Liga Malaysia.
“FAM tidak boleh pandang ke belakang lagi, sasaran kita layak ke pusingan akhir Piala Asia. Keutamaan adalah Piala Asia kerana lebih realistik. Kekangan kita selain Timor Leste dan Palestin adalah dua pasukan yang memang kuat (Arab Saudi dan UAE) tapi kita akan cuba mencuri mata apabila bermain di tempat sendiri,” kata Hamidin.
Sumber - Oleh Harian Metro
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur