MAKLUMAT TERKINI

Selesa ‘Underdog’

16 April, 2015

KIM Swee (kanan) memantau aksi anak buah ketika menewaskan MK Land, semalam.


Kelana Jaya: Tanpa perlu memikirkan soal untuk mempertahankan kejuaraan, jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee percaya anak buahnya mampu melangkah jauh pada Sukan SEA Singapura Jun ini meskipun terpaksa berdepan Thailand dan Vietnam di peringkat awal.

Skuad muda negara terpaksa mengerah lebih tenaga apabila diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste berbanding Kumpulan A yang nampak lebih terbuka membabitkan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Filipina.

“Kalau kita lihat Kumpulan A, mereka mengharungi kurang perlawanan dan saingan agak seimbang. Kumpulan B banyak pasukan kuat termasuk Thailand dan Vietnam namun kita tidak boleh memandang rendah keupayaan Timor Leste, Laos dan Brunei,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan anak buahnya mengalahkan kelab MK Land 2-0 pada aksi persahabatan semalam.

Kim Swee diberikan tugas mencabar oleh FAM untuk merampas kembali kejuaraan dimenangi pada Sukan SEA Jakarta 2011 selepas hanya menduduki tempat keempat di Myanmar dua tahun lalu.

Beliau berkata situasi yang bakal dihadapi pasukannya pasti berbeza kali ini walaupun tekanan tetap ada untuk menjadi dua pasukan terbaik kumpulan sebelum mara ke separuh akhir.

“Jika di Myanmar kita terlalu sibuk untuk mempertahankan kejuaraan dan kali ini kita hanya perlu memberi fokus pada setiap perlawanan saja.

“Tekanan tetap ada tapi saya percaya kami akan lebih selesa dengan status ‘underdog’ dengan pasukan seperti Thailand dilabel sebagai pilihan,” jelas Kim Swee.

Pengendali berusia 44 tahun itu akan mengadakan latihan pusat terakhir bermula 3 Mei dan bakal memilih 20 pemain terbaik untuk dibawa ke Singapura.

Dalam tempoh itu, beliau merancang untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan termasuk dua aksi antarabangsa.

Sumber - Oleh Aziman Rosdi, aziman@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur