‘Beri Tempoh Wajar Kepada Dollah Salleh’
17 April, 2015
SHUKOR ADAN (dua dari kiri) MENDAPAT kepercayaan apabila dilantik oleh Dollah Salleh
(dua dari kanan) sebagai kapten skuad negara dalam kejohanan Piala AFF tahun lalu
dan kini pemain dari Melaka itu mendesak agar jurulatih itu diberikan masa secukupnya
untuk menjalankan latihan pusat bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.
KUALA LUMPUR – Bekas ketua pasukan kebangsaan Shukor Adan menyokong desakan Dollah Salleh agar diberi masa lebih panjang untuk melakukan persiapan rapi bagi menyediakan Harimau Malaya untuk lebih garang dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dari Jun ini hingga Mac tahun depan.
Shukor, yang membantu skuad negara mara ke perlawanan akhir Piala AFF 2014, menegaskan kekalahan besar terhadap Oman tempoh hari perlu dijadikan pengajaran bahawa kejayaan tidak boleh hadir dalam sekelip mata tetapi menuntut kerjasama daripada semua pihak.
Tambahnya, permintaan bekas bosnya itu agar diberikan tempoh latihan pusat selama 10 hingga 14 hari adalah munasabah memandangkan pesaing yang akan dihadapi oleh Harimau Malaya dalam kelayakan itu memiliki reputasi tinggi serta berkedudukan lebih baik daripada skuad negara dalam ranking dunia.
“Kita kena melakukan persiapan yang lebih rapi dengan memberi ruang dan masa secukupnya kepada Dollah, bantulah dia jika kita mahukan keputusan yang baik sepanjang pusingan kelayakan.
“Lihatlah apa terjadi masa kita kalah besar dengan Oman dahulu, kekalahan besar itu bukan sahaja berpunca daripada kurangnya persiapan namun kita tidak mendapat perlawanan pemanas badan sebelum bertemu lawan sekuat itu, kita tidak boleh mengulangi kesilapan itu sekali lagi.
“Kita akan menempuh ujian sebenar dan jauh lebih mencabar iaitu pusingan kelayakan Piala Dunia, jadi saya rasa keluhan Dollah kena didengar. Beri waktu secukupnya kepada dia untuk menerapkan taktikal dan menyediakan pemain dengan kekuatan mental.
“Memandangkan beberapa pemain muda akan membantu skuad Sukan SEA, jadi saya fikir kali ini Dollah sudah tentu memanggil semula pemain-pemain senior dan dia perlu diberi lebih banyak masa untuk membentuk kembali keserasian pemain-pemain ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sebelum ini memberi jaminan Dollah akan diberikan tempoh sewajarnya untuk menjalankan latihan iaitu sekurang-kurangnya selama 10 hari bagi menghadapi setiap dua perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
Untuk memastikan hasrat Dollah dapat ditunaikan, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM sedia meminda tarikh perlawanan Liga Malaysia yang akan diketahui selewat-lewatnya minggu hadapan.
Menyentuh mengenai keputusan undian yang dilihat tidak terlalu berat untuk skuad negara, Shukor menasihatkan bekas rakan-rakannya dalam pasukan kebangsaan agar tidak berasa terlalu yakin, sambil berkata tiada apa yang mudah dalam perlawanan bertaraf antarabangsa.
“Di atas kertas, saya rasa tidak perlu hendak perkatakan lagi mengenai UAE (Emiriyah Arab Bersatu) dan Arab Saudi, kedua-dua pasukan ini memang diketahui antara yang terbaik di benua Asia.
“Cuma jangan berasa terlalu yakin untuk berhadapan dengan Palestin, walaupun negara mereka sedang berada dalam kancah peperangan, pemain-pemainnya ramai beraksi dalam liga luar negara seperti mana pasukan Iraq yang pernah mengejutkan semua apabila muncul juara Piala Asia 2007.
“Timor Leste pun sama, saya difahamkan pasukan ini mendapatbanyak khidmat pemain luar. Kita perlu memantau dan mengkaji persembahan mereka untuk persediaan sebelum menghadapi mereka,” katanya.
Sumber - Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN, Utusan Online
www.utusan.com.my