T-Team Enggan Toleh Ke Belakang
16 April, 2015
Kuala Terengganu: T-Team enggan menoleh ke belakang sebaliknya mahu terus mengungguli takhta Liga Perdana biarpun lawan yang bakal ditentang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok ialah UiTM FC yang tidak kurang hebatnya.
Bagi memastikan misi wajib menang itu tercapai, pemain The Titans bertekad mahu memperagakan aksi terbaik sepanjang 90 minit demi pasukan dan peminat setia kelab dari Terengganu itu.
Pemain tengah T-Team Badrul Hisham Morris berkata, untuk mengekalkan kedudukan teratas liga bukan satu tugas mudah kerana pasukan lain juga mengimpikan perkara sama terutama bagi MENDAPAT tiket automatik ke Liga Super.
“Bagaimanapun dengan keazaman yang kuat daripada pemain dan ditambah strategi berkesan jurulatih Tomislav Steinbruckner, saya berkeyakinan T-Team mampu menundukkan pasukan lawan,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, pemain berasal dari Batu Rakit yang pernah beraksi bersama Sime Darby berkata, walaupun pasukannya bermula di tangga tercorot liga sebelum berada di tangga teratas dengan 14 mata, tugas untuk mengekalkan posisi itu amat sukar dan memerlukan komitmen tinggi daripada rakan sepasukan.
“Sebelum ini tidak ramai yang memberikan harapan kepada T-Team apatah lagi pemain yang berada dalam skuad tidak bertaraf bintang dan secara puratanya pemain muda kurang berpengalaman.
“Namun, berbekal keazaman dan semangat tinggi kami mendaki satu persatu anak tangga sebelum berada di puncak dan keadaan ini sudah pasti memerlukan suntikan luar biasa untuk terus mencatat kemenangan,” katanya.
Rakan sepasukannya yang beraksi di bahagian pertahanan, Hassan Basri (gambar) berharap barisan pemain T-Team tidak mendabik dada sebaliknya terus berusaha meningkatkan mutu permainan bagi memastikan hasrat pasukan untuk kembali ke Liga Super terlaksana.
“Dengan perkembangan terkini, saya percaya jika rakan sepasukan terus fokus, berdisiplin dan beraksi sebagai satu pasukan, peluang T-Team untuk mengutip tiga mata bertemu pasukan UiTM bakal menjadi realiti,” katanya.
Sumber - Oleh Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my