Abdul Rahman Pakai Taktikal Lapuk
20 April, 2015
Kuala Terengganu: Idea dan taktikal berkarat diterapkan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim bukan hanya menyebabkan Terengganu tersungkur di laman sendiri kepada FELDA United FC 1-3 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, tetapi mengundang kecewa hampir 10,000 penonton tuan rumah.
Lebih menimbulkan kemarahan peminat, rekod tanpa kalah di laman sendiri musim ini juga lebur di tangan bekas pengendali Terengganu tahun 2009-2011, Irfan Bakti Abu Salim yang bijak mengatur gerakan berbahaya untuk melebarkan rekod kemenangan.
Malah, pelaburan besar Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan memasukkan penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha juga dilihat belum menerbitkan impak yang berkesan apabila pemain kelahiran Terengganu itu masih terkial-kial mencari rentak.
Namun, apa yang jelas dalam perlawanan itu hampir keseluruhan pemain nampak serba tidak menjadi dan bagaikan terpukau dengan aksi mantap pelawat yang melakukan serangan sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil.
Hal ini diakui Abdul Rahman yang nyata tidak berpuas hati dan bagaikan tidak percaya dengan corak yang ditampilkan anak buahnya yang terlalu memberi ruang kepada lawan serta hilang fokus.
“Pada babak pertama permainan Terengganu hancur dengan penguasaan dan gerakan lebih baik dicipta pasukan pelawat, tetapi kita bernasib baik kena satu gol, bersambung babak kedua kita kembali bangkit, namun sudah terlewat,” kata bekas pengendali kebangsaan itu.
Selain itu, pengendali berusia 69 tahun itu mengakui jika aksi diperagakan berterusan, peluang untuk menjadi juara salah satu piala musim ini masih terlalu jauh.
“Pada babak pertama, kita terlalu yakin berdasarkan latihan yang kita adakan begitu baik, tetapi FELDA United bermain begitu cemerlang membuatkan kita pula tercari-cari rentak untuk menghasilkan jaringan.
“Dengan kekalahan ini, ia akan membuka mata pemain supaya tidak terlalu yakin biarpun beraksi di laman sendiri dan situasi ini juga memberi pengajaran berguna supaya tidak mengambil mudah setiap kali beraksi,” katanya yang juga kecewa dengan beberapa pemain yang cepat berputus asa.
Sementara itu, Irfan mengakui aksi pasukan terbaik setakat ini.
Sumber - Oleh Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my