MAKLUMAT TERKINI

Peluang Bos Gaurus

21 April, 2015

PENYERANG Terengganu, Paulo Rangel (kiri) diasak pemain Perak, Thiago Junio
(kanan) pada aksi suku akhir pertama


Ipoh: Jangan sia-siakan kelebihan bermain di tempat sendiri! Begitulah gesaan kapten Perak Mohd Nasir Basharuddin mengenai perlawanan penentuan suku akhir kedua Piala FA menentang Terengganu di Stadium Perak di Ipoh, malam ini.

“Kelebihan ada pada pihak kami. Kami tidak boleh sia-siakan peluang terhidang ini. Saya yakin rakan sepasukan sedar apa yang perlu dilakukan,” kata pemain tengah itu.

Justeru, Nasir berharap rakan sepasukan menumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan malam ini serta tidak membiarkan mereka dipengaruhi sebarang isu yang boleh menjejaskan fokus.

Pemain itu tidak kisah dengan apa juga persepsi pihak lawan terhadap Perak kerana yang penting adalah menterjemahkan pertembungan ini kepada kejayaan bagi mara ke separuh akhir trofi kalah mati itu.

Selepas sering terkandas pada pusingan awal beberapa musim lalu, pemain The Bos Gaurus pasti mahu mengusahakan pencapaian memberangsangkan kali ini dengan sekurang-kurang mucul empat pasukan terbaik trofi berprestij itu.

Tambahan pula pemain Perak pasti mahu menebus kekalahan 2-3 kepada skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim dalam saingan Liga Super di tempat sama 10 hari lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengingatkan pemain The Bos Gaurus supaya tidak membiarkan tumpuan mereka terjejas berikutan laporan ada pemain yang akan kena gugur.

“Saya harap tumpuan pemain tidak terganggu dengan berita atau isu yang berlaku di luar padang kerana akan melemahkan semangat pemain yang mungkin terkesan,” katanya.

Sumber - Oleh Azizan Hashim, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur