Azraai Akhirnya Menang, Karathu Dicemuh Peminat Perak
22 April, 2015
PENYERANG Kelantan, Erwin Carillo (kiri) menjaringkan gol ketika membantu The Red
Warriors menumpaskan Sime Darby dalam suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan
Muhammad Ke-IV, Kota Bharu semalam. UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR
KUALA LUMPUR – Kelantan menamatkan badi kekalahan dalam lima perlawanan Liga Super apabila menang bergaya 3-0 ke atas Sime Darby dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2015 di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Kemenangan itu juga merupakan yang pertama buat pengendali baharu mereka, Mohd. Azraai Khor Abdullah, sekali gus membawa The Red Warriors melangkah ke separuh akhir menerusi agregat 4-1.
Kedua-dua pasukan sebelum ini seri 1-1 dalam suku akhir pertama di Selayng, 4 April lalu.
Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk meleraikan kebuntuan jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan ketua pasukan Mohd. Badhri Mohd. Radhzi.
Jaringan Mohd. Badri atau lebih dikenali sebagai Piya itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama, sekali gus memberi kelegaan kepada pemain Kelantan sebelum melangkah ke bilik persalinan.
Bersambung di babak kedua, Austin Amutu bijak mencuri peluang dengan meledak gol kedua Kelantan pada minit ke-58 apabila bijak memperdayakan sekurang-kurangnya tiga pertahanan Sime Darby sebelum melepaskan rembatan padu yang gagal diselamatkan oleh Kamarul Effandi.
Erwin Carrillo menambah derita pelawat dengan jaringan ketiga menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Kamarul Effandi pada minit ke-74.
Kelantan bakal berdepan Pahang atau Pulau Pinang di separuh akhir pada 8 dan 9 Mei depan.
Mengiringi Kelantan ke separuh akhir ialah jiran pantai timur, Terengganu yang menyingkirkan Perak dengan agregat 3-1 selepas menang 2-0 di Stadium Perak, semalam.
Terengganu memulakan permainan dengan garang apabila mengasak kubu Perak yang rapuh berikutan penggantungan tonggak pertahanan import, Thiago Junio De Aquino.
Asakan mereka membuahkan hasil apabila Paulo Rangel menanduk masuk bola hantaran Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-21.
Anak-anak buah Datuk M. Karathu terus tersentak apabila Terengganu melebarkan jaringan hasil sepakan cantik dari luar kotak oleh pemain tengah import dari Jepun, Issey Farran Nakajima pada minit ke-55.
Melalui kemenangan itu, Terengganu dijangka bertemu sama ada JDT II atau LionsXII di separuh akhir.
Sebaik tamat perlawanan, sebilangan penyokong Perak yang kecewa dengan kekalahan pasukan mereka bertindak membakar suar di dalam stadium sambil mendesak Karathu meletak jawatan.
Sumber - Oleh YATIMIN ABDULLAH DAN SYUKRI SHAARI, Utusan Online
www.utusan.com.my