Tok Gajah ‘semput’ sebelum mara
Harimau Kumbang beri tentangan tetapi akur dengan agregat 2-4
23 April, 2015
PENYERANG Pahang, Dickson Nwakaeme (tengah) mengawal bola sambil diasak dua
pemain Pulau Pinang dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium
Bandaraya Pulau Pinang, semalam.
PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme (melutut) dan R. Gopinathan meraikan
kemenangan pasukan mereka dengan cara tersendiri selepas membantu Tok Gajah
melangkah ke separuh akhir Piala FA di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, semalam.
utusan/Sazali Chje Din
Pemain JDT II, Shahril Ishak (kanan) diasak pemain LionsXII, Muhammad Zulfahmi Arifin
dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Pasir Gudang, semalam.
KUALA LUMPUR - Pahang tidak menerima laluan semudah disangka apabila dipaksa berhempas pulas dan nyaris dikejutkan oleh kelab Liga Perdana, Pulau Pinang sebelum melangkah ke separuh akhir Piala FA menerusi agregat 4-2 selepas seri 2-2 dalam suku akhir kedua di Stadium Bandaraya, semalam.
Selepas menang 2-0 dalam suku akhir pertama di tempat sendiri, Tok Gajah bertandang ke Pulau Pinang bersama keyakinan tinggi, namun tuan rumah berjaya memberi tentangan hebat di depan 12,000 penyokong setia.
Kesilapan melepaskan dua gol awal bagaimanapun menghukum anak-anak buah Jacksen Ferreira Tiago.
Kemenangan Pahang membolehkan skuad Pantai Timur menguasai tiga daripada empat slot separuh akhir Piala FA musim 2015.
Monopoli mereka berjaya dipecahkan oleh wakil Singapura, LionsXII yang menempah tiket separuh akhir dengan menyingkirkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam satu lagi saingan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Selepas menang 2-0 dalam aksi di Stadium Jalan Besar minggu lalu, LionsXII meneruskan kecemerlangan dengan menumpaskan Harimau Selatan 2-0 di depan penyokong sendiri, sekali gus mara secara agregat 4-0.
Dalam aksi di Stadium Bandaraya, Pahang bermula garang dengan mendahului 2-0 menerusi jaringan awal penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit ketujuh dan ke-10.
Bagaimanapun sebaik saja babak kedua bersambung, tuan rumah bertindak agresif dengan mengatur serangan ke kubu lawan, sebelum berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan percuma Hilton Moreira pada minit ke-75.
Penyerang kelahiran Brazil itu menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-87, namun kebangkitan tersebut sudah terlalu lewat untuk menyekat kemaraan anak-anak buah Zainal Abidin Hassan.
Pahang kini akan menentang Kelantan yang terlebih dulu mengesahkan tiket separuh akhir selepas menyingkirkan Sime Darby kelmarin.
Sementara itu, jaringan Muhammad Khairul Nizam Mohd. Kamal dan Muhammad Nazrul Ahmad Nazari memusnahkan impian JDT II untuk mencari tiket separuh akhir.
Khairul Nizam membuka jaringan seawal minit ke-18 selepas menanduk sepakan percuma yang diambil abangnya, Mohammad Khairul Amri Mohd. Kamal.
Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan serangan untuk memburu gol penyamaan menerusi kapten Shaharil Ishak dan Shafiq Shahrudin, namun kekebalan benteng serta kecekapan penjaga gawang LionsXII, Mohamad Izwan menyekat hasrat JDT II.
Lions XII menambah derita anak-anak buah Goran Paulic apabila meledak gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-64.
Jaringan berpunca daripada serangan pantas menerusi Muhammad Faris yang melakukan lorongan cantik kepada Nazrul Ahmad Nazari sebelum mudah menewaskan penjaga gol Afiff Aizad Azman.
LionsXII bakal berdepan Terengganu di separuh akhir.
Sumber - Oleh MOHD FIRDAUS ISMAIL dan MOHAMAD FAIZAL HASHIM, Utusan Online
www.utusan.com.my