Tangani Gejala Samseng Bola Sepak
27 April, 2015
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu gejala samseng bola sepak ditangani segera sebelum ia menjadi kronik di negara ini selepas insiden yang sama terus berulang kelmarin.
Insiden membabitkan keganasan yang dicetuskan segelintir penyokong pasukan tuan rumah Perak dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Perak, Ipoh seakan mencabar kewibawaan badan induk bola sepak tanah air itu berikutan ia berlaku sehari selepas mereka menjatuhkan hukuman kepada tiga persatuan bolasepak negeri iaitu Pahang, Kedah dan Pulau Pinang kerana salah laku penyokong.
Hakikatnya ini bukan kes pertama membabitkan penyokong Perak dan Johor DT ‘bertempur’ dalam liga tempatan.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menyuarakan kebimbangan terhadap gejala samseng bola sepak walaupun beberapa langkah sudah mereka lakukan dalam memberi kesedaran dan peringatan sebelum ini.
Katanya, tindakan segelintir penyokong yang degil ini bukan saja mengancam keselamatan penyokong, pemain dan pegawai pasukan, malah boleh mencemar imej Liga Malaysia (Liga M) yang kini sedang menapak kukuh.
“Ia kejadian yang sama berulang dan sekali lagi ia membabitkan tingkah laku kurang semangat kesukanan segelintir peminat-peminat kita sendiri.
“FAM cukup kecewa dan sedih kerana insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku dan sudah tentu apabila membabitkan kelakuan penyokong, ia akan membabitkan kawalan keselamatan. Bila ia menyentuh masalah keselamatan sudah tentu persatuan bola sepak negeri juga bertanggungjawab,” katanya.
Justeru, Hamidin menyeru agar semua pihak bekerjasama membendung masalah ini.
“Untuk mencegah budaya samseng bola sepak adalah bukan tanggungjawab FAM semata-mata. Malah, kita semua harus sepakat untuk menangani sifat negatif ini dan saya berharap kita dapat mencegah sebelum bertambah menjadi lebih kronik,” jelas Hamidin.
Mengulas mengenai tindakan undang-undang yang bakal diambil ke atas insiden terbaru di Ipoh itu, Hamidin menjelaskan laporan rasmi pegawai pertandingan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi menilai situasi sebenar yang berlaku.
“Setakat ini saya sudah mendapat pengesahan lisan daripada pegawai pertandingan dan saya percaya laporan rasmi perlawanan itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM nanti.
“Ia bukan bidang kuasa sekretariat untuk menentukan hukuman kerana ia di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib FAM. Jadi, perkara ini akan diputuskan kelak selepas jawatankuasa itu bersidang,” katanya.
Sumber - Oleh Oleh Aziman Rosdi, aziman@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my