MAKLUMAT TERKINI

Pahang Menang Dalam Pesta Gol Di Kuantan

30 April, 2015

Penjaga gol Yadanarbon, Thiha Si Thu pantas merembat bola keluar sebelum sempat
direbut oleh penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme (kiri) dalam perlawanan
Kumpulan G Piala AFC di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.



KUANTAN – Pahang berpesta jari­ngan ketika menewaskan kelab dari Myanmar, Yadanarbon FC dengan kemenangan 7-4 di Stadium Darul Makmur semalam untuk mence­rahkan laluan ke pusingan kedua Piala AFC.

Tiga mata itu meletakkan Pahang semakin kukuh di tempat kedua Kumpulan G dengan tujuh mata dan mereka perlu mengelakkan kekalahan dalam aksi terakhir berdepan kelab Filipina, Global FC pada 13 Mei di Manila.

Kedua-dua pasukan itu kini terikat sama mata dan pemenang akan ditentukan menerusi rekod pertemuan sesama mereka manakala Yadanarbon secara automatiknya ter­singkir.

Dalam perlawanan semalam, Pahang me­lancarkan serangan berbahaya bertali arus sebaik sahaja perlawanan bermula dan berjaya menjaringkan gol pendahuluan menerusi orang besi dari Nigeria, Dickson Nwakaeme seawal minit keenam.

Pada minit ke-17, penjaga gol lawan Thiha Si Thu tewas buat kali kedua apabila penyerang dari Argentina, Matias Conti meledak gol kedua skuad Tok Gajah selepas menerima umpanan Dickson yang memanfaatkan salah faham antara pertahanan Yadanarbon.

Kedudukan Pahang semakin kukuh pada minit ke-31 apabila Nwakaeme mencipta jaringan ketiga Pahang sebelum pemain tengah lawan, Djedje Maximin Djaya mengurangkan defisit gol selepas menewaskan Khairul Azhan Mohd. Khalid pada minit akhir separuh masa pertama.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula sentuhan pertama D. Saarvindran, yang masuk menggantikan Conti, menghasilkan gol keempat tuan rumah selepas menerima umpanan pemain muda Nor Azam Abdul Azih.

Ketika Pahang leka melancarkan serangan, ruang terbuka di bahagian pertahanan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Hlaing Bo Bo yang merembat cantik pada minit ke-57 untuk menjadikan kedudukan 2-4 sebelum Nwakaeme melengkapkan hatrik yang juga gol kelima Pahang pada minit ke-59.

Pesta jaringan tidak berhenti di situ apabila pada minit ke-67 Yadanarbon mendapatkan gol ketiga melalui Bo Bo tetapi Pahang menambah gol keenam menerusi Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-84 setelah menerima umpanan Azidan Sarudin.

Dua minit kemudian, Saarvindran menambah derita kelab Myanmar itu apabila menjaringkan gol ketujuh melalui umpanan Dickson sebelum Yadanarbon menjaringkan gol keempat menerusi Shine Thuya pada masa kecederaan.

Sumber - Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur