Puas Satu Mata
5 Mei, 2015
PEMAIN SMK Putera (jersi merah) diasak pemain SSBG pada pertemuan baru-baru ini.
Kota Bharu: Ketua jurulatih pasukan bawah 15 tahun Sekolah Sukan Bukit Gambang (SSBG) P Somasundram tetap puas hati selepas menyaksikan anak buahnya mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera pada saingan Piala Liga Bawah 17 Tahun Kementerian Pendidikan.
Katanya, lebih baik mengutip satu mata berharga berbanding tewas apatah lagi bertemu lawan yang mendahului carta liga.
“Kami sedar perlu lebih banyak bertahan di Kota Bharu. Sudah tentu kami puas hati meraih satu mata.
“Kami perlu berikan yang terbaik kerana menjalani persiapan untuk saingan antarabangsa. Kami perlu lebih kompetitif pada saingan AFF B-16 pada Ogos dan juga kempen kelayakan AFC September ini,” kata Somasundram.
Hasil daripada perlawanan itu, SSBG kini menduduki tangga keempat liga di belakang SMK Putera, SMK Seberang Temerloh dan SMK Tun Hussein Onn.
Selepas enam perlawanan, SSBG meraih 11 mata hasil tiga kemenangan, dua seri serta tewas sekali.
Sementara itu, ketua jurulatih SMK Putera Rizalman Hassan nyata tidak puas hati dengan keputusan seri.
“Kami gagal mencari ruang untuk mencipta gol,” katanya.
Dalam saingan Liga Super, pendahulu SMK Za’ba dari Negeri Sembilan terpaksa berhempas pulas sebelum diikat 1-1 wakil Perlis, SMk Syed Hassan.
Sumber - Oleh Harian Metro
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur