Tok Gajah Gah Di Puncak Liga
6 Mei, 2015
CONTI (kanan) jaring gol tunggal Pahang.
Kuantan: Skuad Tok Gajah membuktikan mereka lebih layak menduduki persada Liga Super apabila menewaskan Perak 1-0 di Stadium Darul Makmur malam tadi.
Kemenangan itu melengkapkan 20 mata diraih Pahang hasil daripada 10 perlawanan manakala impian Perak mengutip tiga mata berharga tidak kesampaian.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan melakukan asakan bagi memburu gol pendahuluan.
Bagi tuan rumah, peluang terbaik mereka hadir menerusi sepakan percuma pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal tetapi berjaya ditepis penjaga gol Perak, Muhammad Zamir Selamat pada minit ke-10.
Pelawat agak tidak berupaya menembusi benteng Tok Gajah biarpun penyerang mereka, Charles Sauza Chad berjaya melakukan tandukan tetapi melepasi palang gol m-19.
Pada m-45, Horace James dari Jamaica hampir menjaringkan gol Perak tetapi bola tendangannya sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol Pahang.
Sebaik bersambung babak kedua, Perak kelihatan lebih berbahaya menerusi percubaan importnya m-46 Namkung Woong tetapi sepakan derasnya sedikit tersasar biarpun penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Mohd Khalid sudah tertewas.
Pemain gantian Mohd Fauzi Rozlan memiliki peluang terbaik memecahkan kebuntuan tetapi bola tendangannya melepasi palang.
Akhirnya gol pendahuluan dinantikan Pahang terhasil menerusi penyerang import, Matias Conti yang mudah mengambil tendangan penalti m-71.
Pengadil memberikan sepakan penalti itu selepas bola sepakan Dickson Nwakaeme terkena tangan pemain pertahanan Perak, Muhamad Tuah Iskandar dalam kotak penalti.
Pelawanan kemudian dikuasai Perak yang melancarkan serangan bertubi-tubi ke pintu gol Pahang dalam usaha menyamakan kedudukan. Mereka hanya memerlukan 1 mata untuk tampil mendahului kedudukan liga.
Namun tuah milik tuan rumah apabila pengadil meniup wisel penamat bagi mengesahkan Pahang mengungguli puncak carta.
Sumber - Oleh Asrol Awang, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my