Jangan Bazir Duit!
7 Mei, 2015
JAMAL (tengah) memantau sesi latihan PROGRAM First Touch di padang
Kompleks Belia dan Sukan Negeri.
Kuantan: Tidak dinafikan terdapat kelab bola sepak terbabit dengan program pembangunan di peringkat bawah umur terlalu mengejar keuntungan hingga mengabaikan matlamat asal untuk melahirkan pemain bertaraf negeri dan negara.
Dengan yuran antara RM200 hingga RM300 sebulan, penganjur mampu tersenyum lebar dengan hasil lumayan diraih sedangkan produk dijanjikan gagal dihasilkan dalam tempoh ditetapkan.
Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, terdapat beberapa faktor menentukan pencapaian sesebuah kelab antaranya seperti kualiti jurulatih, modul latihan dan pendedahan membabitkan perlawanan persahabatan dan kejohanan.
Menurutnya, tanpa jurulatih berpengalaman dan modul latihan yang baik, mustahil kelab terbabit melahirkan pemain muda berkualiti seterusnya berpeluang terpilih mewakili daerah, negeri dan negara suatu hari nanti.
“Sekiranya keuntungan semata-mata yang dikejar kelab, saya yakin usaha mereka melahirkan pemain muda berkualiti untuk diketengahkan tidak akan berhasil walaupun pemain dimiliki mempunyai bakat semulajadi.
“Saya difahamkan terdapat lebih 1,000 kelab aktif di negara ini dan kebanyakanya tertumpu di Kuala Lumpur dan SELANGOR, sesi latihan untuk pemain berumur lapan hingga 18 tahun diadakan dua kali seminggu, Sabtu dan Ahad,” katanya.
Jamal Nasir yang juga penyelaras program ‘First Touch’ Pahang berkata, terdapat kelab yang hanya mementingkan kejayaan segera setiap kali menyertai kejohanan hingga sanggup bertindak mengenepikan pemain di bawah program mereka.
Katanya, kelab terbabit menggunakan pemain luar semata-mata untuk membentuk pasukan mantap seterusnya mendatangkan kejayaan bagi membuktikan pencapaian cemerlang kelab masing-masing.
“Tindakan meminggirkan pemain bimbingan mereka dengan alasan masih tidak mencapai prestasi sebenar mengundang rasa tidak senang bukan saja kepada pemain tetapi juga ibu bapa yang menaruh harapan menggunung untuk melihat anak mereka beraksi.
“Sekiranya fenomena ini terus berlarutan, matlamat melahirkan pemain berbakat tidak akan menjadi kenyataan, hanya kelab saja berjaya meraih keuntungan HASIL yuran pemain setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata, di PAHANG terdapat 10 hingga 15 kelab bergerak aktif mengadakan PROGRAM pembangunan bola sepak, PROGRAM ‘First Touch’ Pahang kini mempunyai 120 pemain bawah enam, 12 dan 16 tahun dan mereka mengikuti latihan setiap Sabtu dan Ahad dengan yuran RM50 sebulan.
Jamal Nasir berkata, Persatuan Bolasepak MALAYSIA (FAM) akan mengadakan pertemuan dengan semua kelab bola sepak seluruh negara bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk hala tuju dan pencapaian dihasilkan kelab terbabit.
“Saya harap campur tangan FAM dalam hal ini DAPAT memajukan lagi kelab seterusnya usaha menghasilkan pemain berbakat dan berkualiti menjadi kenyataan seterusnya imej bola sepak negara dapat ditingkatkan,” katanya.
Sumber - Oleh Mohd Rafi Mamat, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my