Nordin Idam Ulang Detik Keramat 2011
13 Mei, 2015
Kuala Terengganu: “Memori indah 2011 ketika menjaringkan gol kemenangan Terengganu pada final Piala FA bertemu Kelantan masih segar dalam ingatan,” kata pemain tengah Ahmad Nordin Alias yang berazam mengulangi pencapaian itu dalam aksi separuh akhir kedua Sabtu ini.
Kapten berusia 30 tahun itu turut mengidam layak ke pentas akhir buat kali kedua dalam kariernya selain merakam kenangan bermakna sebelum mendirikan rumahtangga akhir tahun ini.
“Saya berazam layak ke final apatah lagi bakal menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan dari Kedah hujung tahun ini,” katanya.
Pada final empat tahun lalu, pemain berasal dari Medan Jaya, Rusila, Marang itu muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada masa tambahan selepas kedudukan terikat 1-1 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Nordin menuntut rakan sepasukan terutama jentera serangan diketuai Paulo Rangel mencari jaringan seawal mungkin bagi memberi tekanan kepada LionsXll serta memadam kekalahan 1-2 pada aksi pertama.
Selain itu, dia juga mengharapkan kecemerlangan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli menangkis serangan berbahaya lawan dapat diteruskan serta menyeru pertahanan diketuai Vincent Bikana, Mohd Zuber Azmi, Ahmad Azlan Zainal, Hasmizan Kamarodin dan Helmi Rameli lebih kebal.
“Biarpun misi kemenangan bukan mudah berdasarkan corak permainan pantas dan semangat membara barisan Fandi Ahmad, Terengganu tetap mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
“Bermain di stadium baru sudah tentu menyuntik semangat luar biasa pemain dan situasi ini ditambah dengan kehadiran ribuan peminat setia pasukan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.
Sumber - Oleh Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur