Kejayaan B-13 di Sepanyol buka mata masyarakat: KJ
2 Julai, 2015
PUTRAJAYA: Kejayaan skuad bola sepak bawah 13 tahun (B-13) negara di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menjuarai Kejohanan Remaja Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol minggu lalu, kini membuka mata masyarakat.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebelum ini sokongan terhadap program itu agak dingin berikutan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap program itu.
"Sokongan ini perlu sebab bila lebih ramai memahami NFDP ini, ia bakal membentuk satu ekosistem yang positif dan mungkin lebih ramai ibu bapa akan menghantar anak mereka untuk uji bakat menyertai akademi NFDP," katanya selepas melancarkan Reebok Spartan Race, di sini, hari ini.
Skuad kendalian Lim Teong Kim yang tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan itu, mengalahkan pasukan B-13 Akademi Bola Sepak dari Portugal, Sporting Lisbon, 2-1 pada aksi final di Kompleks Sukan Munoz Perez, Marbella, Sepanyol.
Sementara itu, mengenai pencapaian Morten Frost Hansen selepas genap 100 hari dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM),
Khairy berkata beliau sudah melaksanakan tugas dengan baik terutama dalam menggilap bakat muda negara.
"Saya tahu di peringkat awal ada beberapa halangan yang dihadapinya tetapi jika dilihat pada Sukan SEA, paling menonjol dalam perancangannya adalah keyakinannya kepada pemain muda.
"Kita boleh katakan Morten sudah memikirkan badminton negara mengatasi kebergantungan kita kepada (Datuk Lee) Chong Wei," kata Khairy.
Frost, juara kejohanan Seluruh England empat kali di zaman kemuncaknya sebagai pemain dan turut digelar 'Mr Badminton', menyertai BAM pada Mac lalu dan kontraknya adalah sehingga 31 Dis 2020. - BERNAMA
Sumber - Oleh Berita Harian
www.bharian.com.my