MAKLUMAT TERKINI

Kejayaan skuad B-13 satu bonus – Khairy

3 Julai, 2015

Skuad Bawah 13 negara meraikan kejayaan muncul juara Piala Iber selepas majlis
penyampaian hadiah di Costa Del Sol, Sepanyol minggu lalu.


PUTRAJAYA – Kemenangan yang dikecapi skuad Bawah 13 di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) adalah satu bonus kepada pasukan untuk meraih sokongan peminat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sebelum ini tiada sesiapa yang mempedulikan pasukan tersebut, namun selepas mencatat beberapa kemenangan kewibawaan mereka mula meniti di bibir peminat tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, kejayaan pasukan tersebut juga akan membuka mata peminat bola sepak dan juga ibu bapa untuk menghantar anak mereka menjalani latihan melalui PPBN sekali gus akan memboleh­kan lebih banyak bakat digilap me­lalui program tersebut.

“Tujuan skuad Bawah 13 ini dihantar menyertai pertandingan di luar negara adalah untuk pendedahan, kejayaan yang mereka kecapi adalah satu bonus kepada pasukan dan membantu mendedahkan lagi pasukan kepada peminat.

“Sokongan peminat amat pen­ting untuk meningkatkan lagi semangat pemain, pasukan ini juga adalah harapan kepada bola sepak negara pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kejayaan yang diraih oleh skuad yang dikendalikan oleh Lim Teong Kim itu dalam kejohanan Piala Iber di Sepanyol.

Menurut Khairy, PPBN merupakan kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang bertujuan mencungkil bakat pemain muda di seluruh negara dari peringkat akar umbi.

Pada Sabtu lalu pasukan tersebut menutup kempen mereka dalam kejohanan antarabangsa itu dengan cemerlang apabila menjadi juara selepas mengalahkan kelab Portugal, Sporing Lisbon 2-1 dalam perlawanan akhir di Costa Del Sol.

Sementara itu dalam Piala Iber di Portugal yang sedang berlangsung ketika ini, skuad tersebut muncul juara Kumpulan B selepas memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan. Mereka akan bertemu naib juara Kumpulan F Os Bele­nenses G dari Portugal dalam suku akhir.

Sumber - Oleh Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur