MAKLUMAT TERKINI

“Pengalaman Yang Membuka Mata Buat Kami”

6 Julai, 2015

Lisbon, 6 Julai 2015 - Pengalaman yang membuka mata. Itulah ekspresi yang diberikan Wan Rohaimi Wan Ismail dan Effendi Malek ketika diminta mengulas mengenai pengalaman dan pengajaran yang diraih di sepanjang Jelajah Eropah PPBN.

“Pemain di sini berada pada satu tahap yang berbeza, lebih-lebih lagi di IberCup Costa Del Sol & Estoril.

Sudah tentu tahap pemain mereka berada di hadapan kita, tetapi saya yakin kita sedang mengejar ke tahap mereka.

Peluang melatih, dan mempersiapkan pasukan menentang pasukan-pasukan Eropah ini merupakan pengalaman yang sangat berharga, dan akan saya kongsikan bersama para jurulatih di Kelantan. ”, kata Wan Rohaimi yang kini merupakan Ketua Jurulatih Remaja Negeri Kelantan.

Kenyataan tersebut turut disokong oleh Effendi Malek, bekas pemain kebangsaan yang kini menjawat jawatan Ketua Jurulatih Pusat, Akademi Tunas Rembau.

Wan Rohaimi Wan Ismail(hadapan) dan Effendi Malek diberi kepercayaan untuk
mengendalikan pasukan Malaysia B13 di dalam salah satu perlawanan
IberCup Estoril, Portugal.


“Banyak saya belajar dari segi pengurusan kejurulatihan, taktikal dan teknikal yang saya pelajari dari Ketua Jurulatih, Lim Teong Kim, sepanjang berada di sini.

Perjalanan masih jauh untuk kita di Malaysia dari segi kejurulatihan.

Saya tidak salahkan jurulatih-jurulatih yang lama, cuma budaya bola sepak kita masih budaya lama.

Budaya bola sepak moden masih belum sampai di sini. Ini yang kita cuba nak capai.

Saya cuba gabungkan pengalaman saya sebagai bekas pemain bola sepak dengan jurulatih saya dengan pengalaman jurulatih Lim Teong Kim."

Selain itu, Effendi turut menambah bahawa peluang sebegini dapat diperbanyakkan lagi kepada jurulatih-jurulatih yang lain.

“Kalau boleh, diberi peluang lagi kepada jurulatih-jurulatih muda untuk dapat pendedahan sebegini.

Kita perlukan mereka untuk serap ilmu bola sepak di Eropah untuk dibawa pulang ke Malaysia, sekaligus dapat memperkasakan DNA bola sepak negara yang diperkenalkan baru-baru ini.”

Kedua-dua bekas pemain kebangsaan tersebut merupakan dua daripada 13 staf kejurulatihan yang dibawa PPBN di sepanjang Jelajah Eropah bagi membantu Ketua Jurulatih Malaysia Bawah 13 Tahun, Lim Teong Kim bagi mempersiapkan pasukan disamping menimba ilmu sepanjang berada di Jerman, Austria, Sepanyol & Portugal.

Skuad Malaysia B13 berjaya meraih 21 perlawanan daripada 24 perlawanan di sepanjang Jelajah Eropah PPBN, selain berjaya memenangi IberCup Costa Del Sol (Kategori Bawah 13 Tahun) selepas menumpaskan Sporting CP di perlawanan akhir dengan jaringan 2-1.

Walau bagaimanapun, anak-anak buah Lim Teong Kim tumpas di tangan Paris Saint-Germain dengan jaringan 4-0, di peringkat suku akhir IberCup Estoril (Kategori Bawah 13 Tahun).

Sumber - Oleh Faliq Firdaus - Planet Bola
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur