Program Jelajah Eropah 2015 - Skuad Projek B-13 PPBN Capai Sasaran
7 Julai, 2015
Kuala Lumpur, 7 Julai 2015 : Delegasi PPBN yang terdiri daripada 24 orang pemain projek Bawah 13 Tahun (B-13), enam jurulatih, seorang guru dan dua pegawai unit sokongan selamat pulang ke tanahair hari ini setelah menamatkan Program Jelajah Eropah 2015.
Delegasi yang diketuai Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim ini telah berjaya mencapai objektif program dalam berbagai aspek.
Skuad ini telah mengharungi 24 perlawanan termasuk menentang kelab-kelab ternama Eropah seperti Bayern Munich, Red Bull Salzburg, TSV 1860 Munich, Rayo Vallecano, FC Sevilla, Atletico Madrid, Sporting Lisbon dan PSG.
Prestasi mereka sepanjang jelajah juga tidak mengecewakan dengan meraih 21 kemenangan, 2 seri dan 1 kekalahan daripada keseluruhan 24 perlawanan tersebut.
Mereka telah mencatatkan 69 jaring gol, di samping menjuarai kejohanan remaja berprestij Eropah iaitu Piala Iber di Costa Del Sol, Sepanyol dengan menewaskan Sporting Lisbon pada perlawanan akhir.
Bendera Malaysia diarak masuk ketika perlawanan Akhir Piala Iber (Kategori Bawah 13 Tahun)
di antara Malaysia menentang Sporting Lisbon di Costa Del Sol.
Menurut Penolong Ketua Jurulatih Malaysia B-13, Raja Azlan Shah Raja Shoib, Jelajah Eropah PPBN yang dianjurkan ini dapat dilihat sebagai satu kejayaan kerana sasaran dan objektifnya telah tercapai.
Apa yang penting, kita harus tahu objektif kita di sini iaitu pendedahan.
Kalau kita lihat, para pemain menunjukkan peningkatan mendadak sejak kami berada di sini berbanding ketika latihan pusat.
Pemain lebih berani dan tahu membuat keputusan di atas padang.
Pendedahan sebegini merupakan satu permulaan baharu buat para pemain, namun perlu diingat, langkah kita masih jauh.
Raja Azlan yang juga merupakan Penyelaras Teknikal Sekolah Sukan Malaysia (SSM) menambah, beberapa pemain yang sebelum ini kurang menyerlah, bangkit memberikan persembahan yang berbeza ketika di Eropah.
Sebahagian daripada pasukan ini menampilkan aksi yang berbeza ketika di sini dan perkara ini membanggakan saya.
Semangat juang mereka juga wajar dipuji," kata beliau.
Penolong Ketua Jurulatih Malaysia B-13, Raja Azlan Shah Raja Shoib bangga
dengan prestasi pasukan di Jelajah Eropah.
Selain itu juga, program ini telah memberi faedah kepada lebih 12 orang jurulatih tempatan.
Mereka telah didedahkan kepada corak latihan akademi-akademi di Eropah.
Mereka telah mendapat khidmat nasihat yang berguna daripada Kurt Niedermayer, Penasihat Teknikal PPBN yang juga bekas Ketua Jurulatih Skuad Remaja Bayern Munich dan mempelajari kaedah-kaedah baharu sesi latihan.
Penyelaras Skuad Elit PPBN, Arulchelvan a/l Illenggopula akan menjalankan program attachment di salah sebuah Sekolah Sukan terkemuka di Munich sehingga 1 Ogos 2015.
Dalam masa yang sama, kita telah berjaya membina jaringan-jaringan kerjasama baharu di Jerman, Austria, Sepanyol dan Portugal bagi memberi nilai tambah kepada program-program PPBN di masa hadapan.
PPBN juga mengambil kesempatan ini untuk memberikan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan yang menjadi pendorong utama program jangka panjang ini, pemegang-pemegang taruh utama Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia.
Tidak ketinggalan rakan-rakan penaja PPBN, Telekom Malaysia Berhad, MMC, Tune QPR, Kumpulan Naza, IM Sarawak, Media Prima, Permodalan Nasional Berhad, Al Ikhsan dan 100 Plus yang telah banyak membantu.
Pihak media yang telah memberikan liputan berterusan sepanjang kami di Eropah dan akhir sekali, seluruh rakyat Malaysia yang telah banyak memberi sokongandan galakan sambil mengikuti perkembangan Skuad B-13 negara walaupun hanya melalui laman sosial 'nfdpmalaysia'.
Terima kasih semua dan harap bersabar dengan PPBN. Perjalanan kita semua masih jauh.
Keputusan penuh Jelajah Eropah (29 Mei 2015 Ð 6 Julai 2015) adalah seperti berikut:
Perlawanan Persahabatan
Jerman
31 Mei 2015 : Malaysia B13 3-0 FC Ingolstsadt 04 B13
31 Mei 2015 : Malaysia B13 3-2 TSV Murnau B15
1 Jun 2015 : Malaysia B13 6-0 DFB Selections B13
2 Jun 2015 : Malaysia B13 4-0 DFI Academy B13
3 Jun 2015 : Malaysia B13 2-1 Bayern Munich B13
7 Jun 2015 : Malaysia B13 3-1 Tirol Selections B13
8 Jun 2015 : Malaysia B13 3-0 SC Furstenfeldbruck B13
9 Jun 2015 : Malaysia B13 5-1 FC Red Bull Salzburg B13
11 Jun 2015 : Malaysia B13 4-2 TSV 1860 Munich B13
Sepanyol
14 Jun 2015 : Malaysia B13 3Ð1 CF Pozuelo de Alarcon B13
15 Jun 2015 : Malaysia B13 2-2 Rayo Vallecano B13
17 Jun 2015 : Malaysia B13 6-3 Spain Selections B15
19 Jun 2015 : Malaysia B13 0-0 Sevilla FC B13
IberCup Costa Del Sol, Sepanyol (22 Jun - 27 Jun 2015)
Perlawanan Kumpulan D
23 Jun 2015 : Malaysia B13 1-0 Atletico Madrid B13
24 Jun 2015 : Malaysia B13 2-0 SL Olivais B13
25 Jun 2015 : Malaysia B13 1-0 Os Belenenses ÔGÕ
Perlawanan Suku Akhir
26 Jun 2015 : Malaysia B13 5-0 FC Barreirense B13
Perlawanan Separuh Akhir
26 Jun 2015 : Malaysia B13 0-0 Sevilla FC B13 (Malaysia menang 7-6, penalti)
Perlawanan Akhir
27 Jun 2015: Malaysia B13 2-1 Sporting CP B13
IberCup Estoril, Portugal (30 Jun - 5 Julai 2015)
Perlawanan Kumpulan B
30 Jun 2015 : Malaysia B13 2-1 Segeltorps IF B13
30 Jun 2015 : Malaysia B13 7-0 Dragon Force Lisboa B13
1 Julai 2015 : Malaysia B13 3-0 SC Linda-a-Velha
Perlawanan Pusingan Kedua
3 Julai 2015 : Malaysia B13 2-0 Os Belenenses ÔGÕ
Perlawanan Suku Akhir
4 Julai 2015: Malaysia B13 0-4 Paris Saint-Germain B13
Sumber - Faliq Firdaus, Planet Bola