MAKLUMAT TERKINI

Wan Rohaimi Percaya Pasukan Pelapis Mampu Cabar Tempat Skuad Projek 2019

13 Julai, 2015

Kuala Lumpur, 13 Julai 2015 - "Beri sedikit masa kepada staf kejurulatihan, insyaAllah mereka (pemain pasukan Pilihan Malaysia B12) akan cabar tempat Skuad Projek 2019", jawab Wan Rohaimi Wan Ismail secara ringkas ketika ditanya Planet Bola mengenai prospek pelapis bawah 12 tahun yang sedang menghadiri latihan pusat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil selama dua minggu yang bermula dari 7 Julai.

Wan Rohaimi ketuai misi negara di Saitama, Jepun.


Wan Rohaimi yang juga merupakan Ketua Jurulatih Remaja Negeri Kelantan diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas Ketua Jurulatih Pilihan Malaysia B12 yang akan menyertai sebuah kejohanan bawah umur yang akan berlangsung di Saitama, Jepun pada 21-27 Julai 2015.

Jelas Wan Rohaimi, pemain yang dikumpul setakat ini mampu digilap menjadi permata yang akan mencabar tempat Skuad Projek 2019 (Malaysia B13) yang baru-baru ini menjuarai Piala Iber Costa Del Sol di Sepanyol. Skuad Projek 2019 kini sedang dipersiapkan sebagai satu pasukan jangka masa panjang untuk skuad negara merebut tempat secara merit ke Piala Dunia FIFA Bawah 17 Tahun pada tahun 2019.

"Baru-baru ini saya diberi peluang untuk ke Jelajah Eropah sebagai salah seorang jurulatih pasukan Malaysia B13. Banyak yang saya belajar dari situ dari segi latihan dan intensiti permainan yang ditekankan Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim. Oleh itu, saya dan kesemua jurulatih akan bawa corak latihan dan intensiti ini untuk diterapkan pada pemain-pemain pelapis ini pula."

"Lebih menarik, lebih ramai pemain yang akan dibentuk menjadi pelapis, apabila mereka berusia 13 tahun pada tahun depan, dan akan menyertai Sekolah Sukan Malaysia. Pilihan bakat untuk diasah semakin ramai, dan lebih ramai pemain berkualiti dapat dilahirkan dengan didikan DNA Bola Sepak Negara", tambah beliau.

Selain Wan Rohaimi, jurulatih yang akan terlibat dengan pasukan Pilihan Malaysia B12 ialah Ketua Jurulatih Akademi Tunas Rembau, Efendi Malek dan Penyelaras Zon Selatan PPBN, Mustaffa Ab Rahim.

Pilihan Malaysia B12 akan menghimpunkan seramai 16 pemain terbaik seluruh negara untuk mewakili pasukan remaja kebangsaan ke saingan Saitama International junior Football Tournament yang akan berlangsung di Saitama, Jepun pada 21-27 Julai 2015. Kejohanan tersebut merupakan kejohanan tahunan yang telah disertai pasukan negara sejak beberapa tahun yang lalu.

Sumber - Faliq Firdaus, Planet Bola
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur