16 Pemain Dipilih Wakili Pilihan Malaysia Bawah 12 Tahun Ke Saitama, Jepun
19 Julai, 2015
Kuala Lumpur, 19 Julai 2015 – Seramai 16 pemain terbaik daripada 20 pemain telah dipilih dari Sesi Pemilihan Fasa Ketiga untuk menggalas cabaran negara di Saitama International Junior Football Tournament (Under 12) di Saitama, Jepun yang bakal berlangsung pada 21 Julai sehingga 27 Julai 2015.
Sesi pemilihan fasa ketiga yang bermula daripada 7-14 Julai yang lepas secara tidak langsung merangkumkan tiga fasa sesi pemilihan yang telah melibatkan lebih daripada 40 pemain terbaik secara keseluruhan yang dikumpul daripada Liga Akademi Tunas Zon, Liga Akademi Tunas Kebangsaan dan Kejohanan MSSM Bawah 12 Tahun sehingga ditapis kepada 16 pemain.
Skuad Pilihan Malaysia B12 siap siaga hadapi cabaran di Saitama.
Setelah dua minggu berkampung di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, akhirnya senarai akhir pemain yang akan mewakili Pilihan Malaysia B12 telah diumumkan oleh Ketua Jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail dan pasukan tersebut akan diketuai oleh pemain Skuad Projek 2019 dari Sabah, Serhan Ahmad.
Serhan Ahmad yang berasal dari Semporna, Sabah merupakan satu-satunya pemain bawah 12 tahun di dalam Skuad Projek 2019 (Malaysia B13), akan memimpin rakan sepasukannya yang baru di dalam misi Saitama dan yakin mereka dapat bermain sebagai satu pasukan walaupun hanya berlatih selama dua minggu sebagai satu pasukan.
“Walaupun baru bermain bersama selama dua minggu, saya yakin kami sudah tahu kelemahan dan kekuatan masing-masing. Persefahaman di antara kami semakin lama semakin kukuh.“, kata Serhan yang kini bersekolah di SK Bandar Baru Sri Petaling 2, Sri Petaling.
Ketua pasukan Malaysia B12, Serhan Ahmad merupakan salah seorang pemain
Skuad Projek 2019 yang dilatih Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim.
Penyertaan kali ke-sebelas pasukan Pilihan Malaysia B12 di dalam Saitama International Junior Football Tournament (Under 12) yang akan berlangsung di Saitama, Jepun merupakan salah satu program pendedahan antarabangsa yang direncanakan pihak Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada setiap tahun dengan kerjasama pemegang taruh yang lain bagi memberi pengalaman kepada para pemain remaja kebangsaan selain menguji tahap permainan dengan pasukan-pasukan luar.
Pasukan negara akan turut disertai pasukan negara Thailand selain pasukan-pasukan tempatan dari Jepun, dan pasukan-pasukan jemputan dari Amerika Syarikat, Mexico, Rusia, China, Korea Selatan dan Australia.
SENARAI DELEGASI PASUKAN PILIHAN MALAYSIA B12 KE SAITAMA INTERNATIONAL JUNIOR FOOTBALL TOURNAMENT, SAITAMA JEPUN (21 JULAI – 27 JULAI 2015)
Pengurus : A Mustaffa Ab Rahim (Penyelaras Zon Selatan PPBN)
Pen. Pengurus: Siti Zuraida Mustafa (Ketua Jabatan Belia FAM)
Ketua Jurulatih: Wan Rohaimi Wan Ismail
Pen. Jurulatih: Efendi Abd Malek
Jurulatih Kecergasan: Mohd Ridzuan Abdul Rahim
Pemain:
1)Serhan Ahmad (Sabah)
2)Mohd Saphie Ashri (Sabah)
3)Amersan Albani (Sabah)
4)Mohamad Salifie Taha (Sabah)
5)Nur Iman Haikal Hearman (Kelantan)
6)Muhd Amirul Haziq Kamal Ariffin (N.Sembilan)
7)Azannis Adzri Abd Halim (Perlis)
8)Muhammad Amjad Rifa’ie Mohamad (Perlis)
9)Muhammad Aznil Hafiz Adzhar (Kedah)
10) Ku Naufal Mahadzir(Pulau Pinang)
11) Muhammad Haziq Ridhwan Mohd Rosli (WP Kuala Lumpur)
12) Muhammad Aman Nazri Roslie (WP Kuala Lumpur)
13) Kieren Tan Ze Ren (WP Kuala Lumpur)
14) Ahmad Uday Zidane Arifin (Selangor)
15) Muhammad Ilham Aqil Mohd Nazri (Selangor)
16) Muhammad Najmuddin Akmal Kamal (Selangor)
Sumber - Faliq Firdaus, Planet Bola