Skuad Malaysia B13 ke Jelajah United Kingdom dan Jelajah ASEAN Akan Ditentukan
19 Ogos, 2015
Bukit Jalil, 19 Ogos - Seramai 32 pemain bawah 13 tahun dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) telah dikumpulkan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bermula 6 Ogos lepas bagi menjalani latihan pusat dan pemilihan pemain ke Jelajah United Kingdom manakala baki 29 pemain daripada sekolah-sekolah tersebut akan memulakan latihan pusat dan pemilihan pemain bermula 22 Ogos depan sebagai persiapan menjelang Jelajah ASEAN.
Para pemain giat menjalani latihan sebagai persiapan menjelang Jelajah
United Kingdom dan Jelajah ASEAN.
Pemain-pemain yang terpilih akan membentuk dua pasukan bawah 13 tahun kebangsaan (Malaysia B13) dan meneruskan siri pendedahan di United Kingdom dan negara-negara ASEAN yang akan berlangsung selama dua minggu. Sehubungan itu, penglibatan pemain-pemain terbabit di dalam Liga Kebangsaan PPBN Bawah 13 Tahun akan dibekukan buat sementara.
Ketua Jurulatih Remaja Negeri Kelantan, Wan Rohaimi Wan Ismail diberi mandat
untuk mengetuai delegasi Malaysia B13 ke Jelajah ASEAN.
Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim akan membawa salah satu daripada pasukan tersebut ke Jelajah Eropah pada 12 September 2015 manakala satu lagi pasukan dijadualkan berlepas ke Thailand pada 14 September 2015 dan akan diketuai oleh Wan Rohaimi Wan Ismail.
Sumber - Faliq Firdaus, Planet Bola
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur