MAKLUMAT TERKINI

Kieran Mahu Cabar Posisi Nombor Satu Skuad Remaja Kebangsaan

20 Ogos, 2015

Bukit Jalil, 20 Ogos – “Saya mahu jadi penjaga gol utama”, jawab penjaga gol Akademi Tunas (AT) Bandar Tun Razak, Kieran Tan Ze Ren ketika diminta mengulas mengenai peluang diberikan Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim yang memanggilnya untuk turut serta di dalam kem latihan pusat dan pemilihan skuad Malaysia bawah 13 tahun (Malaysia B13) ke Jelajah United Kingdom dan Jelajah ASEAN yang sedang berlangsung di Bukit Jalil.

Kieran Tan Ze Ren, penjaga gol AT Bandar Tun Razak


“Saya mahu terpilih sebagai pilihan penjaga gol yang pertama. Saya tidak menjangkakan untuk mendapat tempat kesebelasan utama secara terus namun harapan saya untuk terus kekal dalam skuad ini pada masa akan datang” ujar Kieran, 12, yang bersekolah di Sri Chempaka International School.

Kieran merupakan salah seorang pemain bawah 12 tahun yang terpilih ke latihan pusat dan sesi pemilihan skuad Malaysia B13 setelah mewakili Pilihan Malaysia Bawah 12 Tahun ke Saitama International Junior Football Tournament pada bulan lepas, selain Muhd Najmudin Akmal dari AT Petaling Perdana yang turut terpilih. Pilihan Malaysia B12 meraih tempat ke-13 dalam kejohanan tersebut.

Kieran akan bersaing bersama 5 penjaga gol yang lain bagi merebut tempat dalam
kedua-dua skuad yang akan ke United Kingdom dan negara-negara ASEAN


Pemain-pemain yang terpilih akan membentuk dua pasukan bawah 13 tahun kebangsaan dan meneruskan siri pendedahan di United Kingdom dan negara-negara ASEAN yang akan berlangsung selama dua minggu.

Lim Teong Kim akan bertindak sebagai Ketua Jurulatih bagi salah satu daripada pasukan tersebut ke Jelajah Eropah pada 12 September manakala satu lagi pasukan dijadualkan berlepas ke Thailand pada 14 September dan akan diketuai oleh Ketua Jurulatih Remaja Negeri Kelantan, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Sumber - Faez Redzuan, Planet Bola
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur