MAKLUMAT TERKINI

SMK Za’ba hampiri suku akhir

27 Ogos, 2015

Pemain-pemain SMK Za'ba (jersi biru) meraikan kejayaan menghasilkan gol ketika
menentang SMK Tabuan Jaya dalam perlawanan Liga Super MELC di Kuala Pilah,
Negeri Sembilan semalam.


KUALA PILAH – Kemenangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba 2-0 ke atas pasukan pelawat, SMK Tabuan Jaya dari Sarawak di laman sendiri semalam menyuntik semangat untuk mereka mengharungi cabaran suku akhir Piala Liga Menteri Pelajaran (MELC) Bawah 14 Tahun (B-14).

Bermain dalam divisyen satu, Liga Super MELC, pasukan dari Negeri Sembilan itu mengesahkan laluan ke peringkat seterusnya apabila mata penuh yang diperoleh semalam melonjakkan mereka dari tangga kelima ke tempat ketiga.

“Kami perlu menang hari ini (semalam). Sebenarnya, memang kami agak terdesak untuk mendapatkan mata penuh. Diundi bertemu Kedah (SMK Tunku Anum) pada Sabtu lalu telah mengecewakan kami, tetapi sekurang-kurangnya kami berupaya memungut tiga mata penting ketika menentang Sarawak.

“Saya yakin kami masih boleh melepasi peringkat suku akhir dengan sekurang-kurangnya memenangi salah satu daripada baki dua perlawanan. Bukan mudah tetapi juga tidak mustahil.

“Dua perlawanan akhir sangat sukar, namun kami akan beraksi di laman sendiri sekali lagi (menentang SMK Syed Hassan dari Perlis pada 5 September ini) sebelum bertemu pendahulu liga (Sekolah Sukan Gambang) dalam aksi final seminggu selepas itu. Sangat penting untuk mengutip mata penuh daripada dua perlawanan itu,” kata jurulatih SMK Za’ba, Bahrom Zahir.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Kuala Pilah itu, Nur Aiman Nashriq Yuslan dan Muhammad Amirul Rusli menyumbat gol kemenangan pasukan mereka, masing-masing pada minit ke-14 dan ke-21.

Sementara itu SMK Putera dari Kelantan seri 1-1 dengan wakil Sabah, SMK Datuk Peter Mojuntin dalam divisyen dua, Liga Perdana.

Kedua-dua pasukan itu masih berpeluang untuk berada dalam kelompok tiga teratas Liga Perdana untuk mara ke suku akhir tahun ini.

Sumber - Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur