SS Gambang juara Liga Super
1 September, 2015
PEMAIN SS Gambang lincah di padang.
Subang Jaya: Skuad Bawah 14 Tahun (B-14) Sekolah Sukan (SS) Gambang menjuarai Liga Super selepas menewaskan SMK Seksyen 11 dari Selangor 2-0 walaupun saingan masih berbaki dua perlawanan.
Dua gol skuad dari Pahang itu hadir menerusi Muhammad Aiman Syakir Mohd Zulkifli yang melepaskan rembatan jarak dekat pada minit ke-33 disusuli jaringan Muhamad Adam Fahimi Mohamad Bashir untuk melengkapkan kemenangan ke-11 dari 12 perlawanan.
“Saya tidak fikir kami mempunyai kualiti pemain yang lebih baik berbanding pasukan lain. Cuma kami lebih tersusun.
“Meraih kejuaraan Liga Super adalah langkah pertama. Selepas ini kami perlu mempersiapkan pasukan untuk aksi suku akhir, saingan yang berbeza,” kata ketua jurulatih Azman Ismail.
Saingan kini sengit membabitkan lima pasukan untuk merebut empat tempat ke suku akhir termasuk juara bertahan SMK Bukit Nenas dari Terengganu yang menewaskan SMK Syed Hassan dari Perlis minggu ini.
Jaringan tunggal Muhamad Azam Mohd Razali pada minit ke-25 membolehkan SMK Bukit Nenas di tangga keempat selepas berada di kedudukan kelima sebelum perlawanan.
“Kami masih berpeluang mara ke suku akhir. Saingan tahun ini sukar berbanding musim lalu,” kata jurulatih Asmawi Sulong.
Sumber - Harian Metro,
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur