Chonburi FC, PVF Vietnam bakal lengkapi jadual Jelajah ASEAN
4 September, 2015
BANDAR PENAWAR - Sementara skuad Malaysia bawah 13 tahun di bawah bimbingan ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail sedang sibuk menjalani latihan pusat di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, beberapa pasukan kelab ternama dari benua Asia Tenggara telah dikenalpasti sebagai seteru utama di sepanjang Jelajah ASEAN yang bakal berlangsung pada 14 hingga 26 September ini.
Chonburi FC (Thailand) dan PVF Vietnam (Vietnam) merupakan antara pasukan yang disahkan akan menentang skuad Pilihan Malaysia 13 yang bakal bertandang ke Thailand, Vietnam dan Kemboja. Manakala di Kemboja, anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail ini dijangka akan menentang juara liga kebangsaan Kemboja bawah 13 tahun. Sementara itu, perlawanan menentang kelab-kelab lain yang mempunyai struktur pembangunan bola sepak yang baik juga sedang diusahakan.
Penasihat Teknikal PPBN, Kurt Niedermayer turut turun padang melihat persiapan
skuad Malaysia B13 ke Jelajah ASEAN yang berlangsung di SSTMI,
Bandar Penawar baru-baru ini.
Chonburi FC merupakan salah satu pasukan yang bertanding di dalam Piala SuperMokh 2014 (bawah 12 tahun) dan mereka berjaya meraih tempat keempat di dalam edisi sulung kejohanan tersebut selain merupakan antara kelab utama yang bersaing di Liga Thailand di peringkat profesional. PVF Vietnam pula dilihat sebagai satu kelab yang semakin giat membangun di peringkat akar umbi dan merupakan salah kelab yang bertanding di Trofi Liga Juara-Juara Asia Bawah 18 Tahun yang sedang berlangsung.
Sekali lagi Wan Rohaimi Wan Ismail diberi tanggungjawab menggalas tugas
sebagai ketua jurulatih selepas membawa Pilihan Malaysia B12 ke Saitama
International Junior Football Tournament pada Julai lepas.
Melihat kepada persediaan pasukan, para pemain diberi latihan intensif pada setiap minggu dan diberi masa mempersiapkan diri masing-masing dengan ketahanan mental yang kuat serta keadaan fizikal yang cergas sejak bermulanya latihan pusat pada 21 Ogos yang lepas.
Menurut penolong ketua jurulatih, Osmera Omaro, banyak peningkatan dapat dilihat sejak bermulanya latihan pusat di SSTMI, Bandar Penawar.
"Pada setakat ini semua pemain menunjukkan motivasi yang tinggi. Kebolehan teknikal, kekuatan fizikal, kelajuan dan stamina juga semakin meningkat serta menunjukkan perkembangan yang positif", katanya.
"Saya juga berharap semua pemain yang terlibat akan menjadikan Jelajah ASEAN ini sebagai medan untuk menambah ilmu dan memperkemaskan cara bermain serta mampu menterjemahkan cara permainan yang dikehendaki oleh jurulatih", tambahnya lagi.
Skuad Malaysia B13 akan dipecahkan kepada dua pasukan dan satu pasukan yang diketuai Lim Teong Kim sendiri akan memulakan Jelajah Eropah pada 12 September 2015 manakala satu lagi pasukan akan berlepas ke Thailand pada 14 September 2015 dan akan diketuai oleh Wan Rohaimi Wan Ismail.
Sumber- Faez Redzuan, Planet Bola