MAKLUMAT TERKINI

Malaysia B15 hampiri pusingan kelayakan Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun

4 September, 2015

SERDANG - Detik penentuan semakin menghampiri skuad bawah 15 tahun kebangsaan (Malaysia B15) apabila hanya tinggal seminggu sahaja lagi menjelang pusingan kelayakan Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun yang akan bermula pada pertengahan September ini.

Malaysia B15 yang dipimpin ketua jurulatih, P. Somasundram kini dalam fasa terakhir pemilihan pemain sebelum bermulanya pusingan kelayakan kejohanan benua itu. Kesempatan ini digunakan sebaiknya bagi mencari keserasian di antara pemain dan ternyata hasil positif dapat dilihat apabila berjaya menewaskan Felda United bawah 17 tahun, 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Mini UPM, petang semalam.

Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan buntu dalam mencari jaringan pembukaan pada separuh masa pertama. Walau bagaimanapun, rentak perlawanan berubah apabila Somasundram membuat beberapa pertukaran sekaligus menjadi pemangkin kepada asakan berganda dan berjaya menghasilkan dua gol menerusi Iqbal Hakim pada minit ke-65 dan minit ke-75. Keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Antara aksi Malaysia B15 menentang Felda United Bawah 17 Tahun, petang semalam.


Menurut Somasundram, persiapan akhir seperti perlawanan persahabatan ini amat penting untuk mengenal pasti kelemahan dan kekurangan individu para pemain bagi mendapatkan keserasian yang mantap.

"Para pemain masih dalam fasa pemilihan dan mereka perlu bersaing untuk merebut tempat bagi 23 orang pemain terakhir yang akan kami bawa ke pusingan kelayakan kejohanan AFC tersebut. Persiapan kami lebih rapi kali ini." katanya yang tampak optimis dengan peluang Malaysia di dalam pusingan kelayakan tersebut.

Malaysia akan menentang Kepulauan Northern Mariana (14 Sept), Timor Leste (16 Sept), Filipina (18 Sept) dan Laos (20 Sept) dalam saingan Kumpulan G. Kesemua perlawanan tersebut akan dipertandingkan di Laos.

Malaysia B15 dibarisi pemain-pemain yang majoritinya bermain untuk Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam Liga KPM Bawah 17 Tahun. Persiapan terakhir skuad remaja kebangsaan sedang direncanakan dengan dua perlawanan persahabatan terakhir akan diadakan pada 6 September (Selangor B19) dan 8 September (Sime Darby B19) sebelum bermulanya pusingan kelayakan Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun yang dijadualkan bermula pada 14 September 2015, menentang Kepulauan Northern Mariana.

Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun merupakan salah satu daripada kejohanan peringkat umur yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan India bakal menjadi hos tahun 2016 bagi kejohanan dwitahunan ini.Antara aksi Malaysia B15 menentang Felda United Bawah 17 Tahun, petang semalam.

Sumber- Faez Redzuan, Planet Bola
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur