Ketua Jurulatih Malaysia B15, P. Somasundram Optimis Hadapi Cabaran Asia
8 September, 2015
Kelana Jaya, 8 September – Skuad Malaysia bawah 15 tahun kendalian P. Somasundram tewas 0-1 kepada Selangor bawah 17 tahun pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Wisma FAM petang tadi, sekaligus menutup tirai fasa terakhir persiapan pasukan remaja kebangsaan itu menjelang pusingan kelayakan Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun yang akan bermula 12 September ini.
Perlawanan yang bermula pada pukul 4 petang tadi dilihat lebih memihak kepada pasukan Selangor B17, dengan jaringan kemenangan diperoleh melalui tolakan mudah pemain Selangor B17, Mohd Syahmi, pada minit ke-72.
Ketua jurulatih P. Somasundram optimis bahawa pasukannya mampu memberi
cabaran pada pusingan kelayakan
Walaupun tewas dalam perlawanan persahabatan yang terakhir, P. Somasundram kekal optimis dalam menghadapi pusingan kelayakan kejohanan peringkat benua itu yang akan berlangsung pada minggu hadapan, di Laos.
Menurutnya kekalahan tersebut sedikit sebanyak membuka mata para pemain untuk beraksi dengan lebih baik di sepanjang kejohanan tersebut itu nanti.
“Walaupun kami kalah, pemain telah menunjukkan keserasian diatas padang serta menunjukkan mutu permainan yang memuaskan.”
“Senarai 23 pemain terakhir telah ditetapkan dan akan dibawa ke Laos pada hari Khamis ini. Saya yakin para pemain sudah bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan AFC pada kali ini” ulas Somasundram seusai perlawanan.
Antara aksi perlawanan antara Malaysia B15 menentang Selangor B17 di Wisma FAM
Malaysia diundi di dalam Kumpulan G bersama-sama pasukan Kepulauan Northern Mariana, Timor Leste, Filipina dan Laos.
Melihat kepada undian ini, Somasundram mengingatkan agar para pemain tidak memandang enteng kehadiran pasukan yang tidak ternama seperti Kepulauan Northern Mariana di dalam Kumpulan G.
“Walaupun pasukan seperti Kepulauan Northern Mariana bukanlah satu pasukan ternama di dalam arena bola sepak, saya percaya pasukan seperti ini mampu melakukan kejutan dan kita tidak seharusnya memandang rendah terhadap kemampuan mereka.” ujarnya, sambil mengingatkan anak buahnya perlu bekerja keras bagi mendapatkan hasil yang diinginkan.
Malaysia akan menentang Kepulauan Northern Mariana (14 Sept), Timor Leste (16 Sept), Filipina (18 Sept) dan Laos (20 Sept) dalam saingan Kumpulan G. Kesemua perlawanan tersebut akan dipertandingkan di Laos.
Malaysia B15 dibarisi pemain-pemain yang majoritinya bermain untuk Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam Liga KPM Bawah 17 Tahun.
Persiapan terakhir skuad remaja kebangsaan sedang direncanakan dengan dua perlawanan persahabatan terakhir akan diadakan pada 6 September (Selangor B19) dan 8 September (Sime Darby B19) sebelum bermulanya pusingan kelayakan Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun yang dijadualkan bermula pada 14 September 2015, menentang Kepulauan Northern Mariana.
Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun merupakan salah satu daripada kejohanan peringkat umur yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan India bakal menjadi hos tahun 2016 bagi kejohanan dwitahunan ini.Antara aksi Malaysia B15 menentang Felda United Bawah 17 Tahun, petang semalam.
Sumber - Faez Redzuan, Planet Bola