MAKLUMAT TERKINI

‘Tak cukup bagus’

27 September, 2015



Kuala Lumpur: “Masih banyak kelemahan yang wujud dalam persembahan skuad Bawah 13 Tahun (B-13) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN),” itu luahan Pengarah Teknikal PPBN, Lim Teong Kim (gambar) yang menyifatkan siri jelajah England kali ini menepati objektifnya sambil berharap segala kelemahan itu dapat di atasi pemainnya.

Menurut bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu, persembahan pemainnya yang sentiasa tidak konsisten antara kerisauan terbaru yang dapat dikesan sepanjang siri jelajah itu.

“ Saya lihat banyak perkara yang harus diperbaiki. Persembahan pemain harus konsisten, bukan sekejap naik sekejap turun. Objektif kita untuk dapatkan perlawanan berkualiti, disamping pihak lawan yang mampu beri tekanan yang tinggi kepada pemain kita.

“Semua itu kita dapat dalam jelajah kali ini seperti ketika menentang Liverpool, Manchester City dan West Ham United. Tapi saya masih belum berpuas hati, banyak yang perlu diperbaiki lagi,” katanya yang akan tiba di Lapangan Antarabangsa Sepang (KLIA) pagi ini.

Pasukan ‘DNA’ negara berjaya mempamerkan rentak kemenangan dalam lima aksi awal sebelum tewas kepada juara B-13 England pasukan Manchester City dan bangkit kembali melakar kemenangan dalam aksi berikutnya.

Kemenangan pertama diraih ketika membelasah Barnsley School FA (B-13) 7-0, Sheffield Wednesday (B-13) 5-0, Sheffield Wednesday (B-14) 5-1, Liverpool (B-13) 3-2, Queens Park Rangers (QPR) (B-13) 1-0 sebelum kalah 0-2 dengan City.

Mereka bangkit kembali dalam aksi ketujuh apabila mengikat Reading FC (B-13) 1-1, menang ke atas West Ham United (B-13) 2-1, Tottenham Hotspur (B-13) 7-2 dan Crystal Palace (B-13) 7-0.

Ketika ditanya mengenai kekalahan di tangan City, Teong Kim menyalahkan sikap anak buahnya yang terlalu menghormati pasukan lawan hingga gagal mencorakkan permainan selain faktor cuaca sejuk mengganggu rentak pasukan.

“ Pemain tidak menunjukkan semangat juang, seolah terlalu menghormati mereka (Manhester City), itu menjadi punca utama kepada kekalahan,” katanya.

Sumber - Harian Metro Online, www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur