MAKLUMAT TERKINI

Semangat juang, sikap positif formula kejayaan skuad B-13 PPBN

27 September, 2015

Penolong Ketua Jurulatih skuad B-13 megara, Raja Azlan Shah Raja Sho'ib


SEPANG: Semangat juang tinggi dan sikap positif pemain adalah kunci kejayaan skuad kebangsaan Bawah 13 Tahun (B-13) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) sepanjang jelajah mereka di United Kingdom (UK).

Penolong Ketua Jurulatih skuad B-13 negara, Raja Azlan Shah Raja Sho'ib berkata pemain skuad itu menunjukkan semangat juang dan berpasukan tinggi seperti yang dimahukan pihaknya bagi mencipta kejayaan memberangsangkan ketika jelajah itu.

"Semangat juang adalah elemen paling penting yang kita terapkan sepanjang berada di UK. Pemain menunjukkan kesungguhan, kerjasama dan sikap yang baik untuk mencipta kemenangan pada setiap perlawanan.

"Apa yang penting ialah pendedahan, bukannya keputusan sahaja. Secara keseluruhannya, jelajah kali ini berjaya," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bersama pasukan B-13, pagi tadi.

Skuad kendalian Lim Teong Kim, yang memulakan jelajah itu pada 14 September lalu mencatatkan lapan kemenangan daripada 10 perlawanan sepanjang jelajah termasuk kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan B-13 Crystal Palace pada Jumaat.

Skuad itu, yang dikenali sebagai 'The Cubs' memulakan jelajah dengan kemenangan 7-0 menewaskan B-13 Barnsley School pada 15 September, dan kemudian kemenangan 5-0 dan 5-1 masing-masing ke atas B-13 Sheffield United dan B-14 Sheffield United (16 September).

Mereka mengalahkan B-13 Liverpool 3-2 pada 18 September, menundukkan B-13 Queens Park Rangers (QPR) 1-0 (22 September), menewaskan West Ham United 2-1 (23 September) sebelum menumpaskan B-13 Tottenham Hotspurs (24 September).

Mereka hanya tewas 0-2 kepada B-13 Manchester City pada 18 September dan seri 1-1 dengan B-13 Reading FC pada 23 September.

Skuad B-13 seterusnya akan memulakan persediaan untuk Piala SuperMokh 2015 di ibu negara, iaitu kejohanan jemputan bagi kategori B-12 dan B-13 anjuran PPBN yang akan berlangsung pada awal Disember ini.

"Kejohanan ini adalah pertandingan antarabangsa yang dianjurkan buat kali kedua merangkumi 16 pasukan B-13 dan lapan pasukan B-12, dengan kelab-kelab terkemuka dijemput menyertainya," katanya.

Kejohanan itu pertama kali diadakan tahun lalu.

Sementara itu, Raja Azlan Shah berkata Lim, yang dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Teknikal di Asia untuk QPR melalui kerjasama strategik dengan kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu, masih berada di UK bersama empat lagi jurulatih PPBN yang menjalani latihan selama tiga minggu.

"Empat jurulatih tersebut akan mendapat pendedahan daripada segi kejurulatihan dan pengurusan daripada kelab berkenaan, serta mengenai apa program dan pembangunan yang berlaku di sana bermula daripada tahap akar umbi sehingga pasukan utama," katanya.- BERNAMA

Sumber - Berita Harian Online, www.bharian.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur