MAKLUMAT TERKINI

Awas SSTMI

13 Oktober, 2015

PEMAIN SMK Tunku Anum mengasak pemain SMK Mutiara Impian (tengah).


Jitra: Bekas juara Piala Liga Menteri Pendidikan Bawah 14, SMK Tunku Anum Kedah begitu bersemangat untuk menentang Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pada separuh akhir selepas kemenangan meyakinkan ketika beraksi dalam kelompok lapan pasukan terbaik Sabtu lalu.

Pasukan dari utara tanah air itu yang muncul juara edisi 2010 dan 2012, mudah menewaskan pencabar suku akhir mereka SMK Mutiara Impian Pulau Pinang menerusi agregat 5-2.

Mereka menang besar 4-1 ke atas pasukan negeri jiran itu pada aksi pertama sebelum seri 1-1 di gelanggang sendiri minggu lalu.

Jurulatih Kedah Mohd Faizal Rejarudin bagaimanapun mahukan anak buahnya terus fokus untuk menghadapi perlawanan separuh akhir itu nanti.

“Kami kena pastikan tiada kecederaan untuk aksi separuh akhir itu.

“Pemain juga perlu mengikut taktik dan berdisiplin dengan perancangan permainan kerana kami akan berdepan pasukan lebih kuat di separuh akhir,” katanya.

Jurulatih SMK Mutiara Impian Mohd Faqhri Sobri pula berkata: “Kami bermain baik tapi tidak boleh memanfaatkan peluang diperoleh.

Kami sepatutnya menjaringkan banyak gol pada separuh masa pertama tapi kedudukan pemain tidak mengikut perancangan selain kesilapan individu menyebabkan kami gagal mengaut kesempatan.”

SMK Tunku Anum akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan pertama separuh akhir Sabtu ini.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, SSTMI mengatasi SMK Syed Hassan Perlis dengan agregat 3-1.

Sekolah Sukan Gambang pula semakin mengesahkan mereka pasukan pilihan untuk merangkul takhta selepas menewaskan SMK Seri Kota Melaka dengan kemenangan besar menerusi agregat 11-2.

Mereka akan bertemu SMK Zaba Negeri Sembilan untuk satu lagi aksi separuh akhir Sabtu ini.

Sumber - Harian Metro Online, www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur