Nabil penyelamat
20 Oktober, 2015
PEMAIN SMK Zaba (biru) dan SMK Putera beraksi pada perlawanan separuh akhir pertama.
Kuala Pilah: Muhammad Nabil Azizul menyelamatkan maruah SMK Zaba apabila menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat SMK Putera dengan keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga Kementerian Pendidikan Bawah 17, Sabtu lalu.
Kami tidak dapat menurunkan pemain terbaik kerana penggantungan sehingga bahagian pertahanan tidak begitu stabil, kata jurulatih SMK Zaba Bahrom Mohd Tahir selepas perlawanan itu.
Tapi kami berjanji akan berada pada tahap terbaik untuk perlawanan timbal balik nanti. Saya percaya kami boleh bermain lebih baik ketika itu.
Saya juga berharap mendapat padang yang baik di Kota Bharu nanti supaya kami boleh menampilkan gaya sebenar. Apapun, kami yakin untuk mara ke final.
Dalam perlawanan seimbang di Stadium Mini SMK Zaba itu, pasukan pelawat dari Kelantan yang terlebih dulu menekan tuan rumah pada 15 minit pertama sebelum mendahului menerusi gol Mohamad Norkhairul Amri Sabarudin pada minit ke-17.
Tapi berbekalkan sokongan padu penonton, SMK Zaba tidak mengambil masa lama menyamakan kedudukan apabila Nabil menolak masuk pada minit ke-37.
Ketika keputusan seri mungkin memberikan jurulatih Rizalman Hassan sebab untuk tersenyum, pada masa sama beliau mengakui bimbang bagi aksi kedua nanti kerana dua pemain utamanya tidak boleh diturunkan akibat penggantungan.
Nik Akif Shahiran Nik Mat menerima kad kuning kedua pada minit ke-73 - kad keduanya dalam dua perlawanan - manakala Ezzam Azimy Zailany menerima kad merah empat minit sebelum tamat perlawanan.
Penggantungan itu merisaukan tapi kami sekurang-kurangnya mempunyai gol tempat lawan daripada perlawanan ini yang mungkin berguna untuk aksi kedua nanti, kata Rizalman.
Kami akan melakukan beberapa rombakan untuk perlawanan itu nanti dan harap-harap pemain saya akan lebih memanfaatkan peluang nanti berbanding di Kuala Pilah.
Sementara itu, dalam satu lagi separuh akhir, Sekolah Sukan Bukit Jalil terikat 2-2 dengan SMK Seberang Temerloh dari Pahang.
Mohd Izwan Iskandar Gazali meletakkan Bukit Jalil di depan selepas 19 minit aksi sebelum SMK Seberang Temerloh membalas dengan dua gol menerusi Mohamad Aiman Haqimi Mohamad Naziri (m-22) dan Muhammad Nor Amirul Mohd Nizam (m-25).
Gol Wan Alif Aiman Rosmaidi lapan minit selepas rehat membolehkan Bukit Jalil mengikat keputusan seri.
Sumber - Harian Metro Online,
www.hmetro.com.my