MAKLUMAT TERKINI

Jurulatih Perlu Bijak Terima Kritikan - Mokhtar

21 November, 2015

Timbalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad
(dua dari kanan) beramah mesra dengan jurulatih-jurulatih Bola Sepak Malaysia
ketika majlis Bengkel 'Hala Tuju Bola Sepak Negara' di Wisma FAM hari ini. - Bernama

KUALA LUMPUR: Jurulatih bola sepak perlu bijak menerima kritikan daripada rakan seperjuangan dan peminat tanah air serta menjadikannya sebagai cabaran untuk memperbaiki prestasi diri dan pasukan.

Timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata, setiap kritikan yang diberikan harus diterima dengan terbuka bagi memastikan perubahan positif dapat dilakukan.

"Saya sedar jurulatih ada etika dan fahaman yang berbeza untuk mengendalikan pasukan mereka. Anda tidak sepatutnya mengkritik rakan seperjuangan tapi jika terdapat kritikan, terima dengan hati yang lapang.

"Mereka yang kritik itu mesti ada sebab tertentu buat begitu. Kita kena buktikan kepada pengkritik bahawa jurulatih tempatan mampu berada setanding dan disegani di peringkat serantau," katanya ketika berucap pada bengkel Hala Tuju Bola Sepak Malaysia, di sini hari ini.

Abdul Mokhtar turut merasmikan bengkel anjuran Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) yang dihadiri lebih 30 jurulatih tempatan dari seluruh negara.

Dalam pada itu Presiden (PJBM), B Sathianathan selepas majlis perasmian berkata beliau agak kecewa dengan penyertaan kurang memberangsangkan daripada jurulatih-jurulatih tempatan.

Katanya, sebagai jurulatih, bengkel itu menjadi medan untuk mereka memberi dan mengumpul pendapat bagi tujuan membangunkan prestasi bola sepak Malaysia.

"Pada bengkel yang julung kali dianjurkan ini, kita akan membincangkan lima tajuk utama iaitu pemilihan kejurulatihan, pembangunan bola sepak dari akar umbi, penggunaan sains sukan dalam bola sepak, pertandingan dari peringkat akar umbi hingga remaja serta input jurulatih kepada pemain.

"Di sini juga kita boleh memperbaiki ilmu kejurulatihan. Selepas idea-idea dikumpul kita akan serahkan idea tersebut kepada jawatankuasa Pasukan Petugas FAM untuk dipanjangkan," katanya.

Sathianathan juga berhasrat untuk bekerjasama dengan FAM untuk meletakkan syarat yang mewajibkan setiap jurulatih memiliki lesen yang dikeluarkan badan induk itu.

Tambahnya, PJBM dijadual akan mengadakan satu simposium jurulatih antarabangsa pada Februari tahun hadapan yang akan dihadiri kesemua jurulatih tempatan dan jurulatih luar negara yang berkhidmat dalam Liga Malaysia. - BERNAMA

Sumber - Berita Harian Online, www.bharian.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur