MAKLUMAT TERKINI

Piala SuperMokh 2015 medan terbaik bagi pemain-pemain muda negara raih pengalaman antarabangsa

3 Disember, 2015

KUALA LUMPUR (3 Disember, 2015) – Edisi kedua Kejohanan Jemputan Antarabangsa Piala SuperMokh yang akan bermula Isnin hadapan bakal menjadi medan terbaik bagi para pemain muda negara meraih pengalaman antarabangsa apabila 30 pasukan luar negara akan bertanding dalam dua kategori kejohanan – bawah 12 dan 13 tahun.

Pasukan-pasukan ternama seperti Manchester City FC (England), Rayo Vallecano (Sepanyol), GNK Dinamo Zagreb (Croatia) dan Corinthians FC (Brazil) bakal berentap bersama-sama gergasi dari J League dan K League seperti Gamba Osaka, Kashiwa Reysol, Suwon Samsung Bluewings dan pastinya Juara bertahan edisi pertama Piala SuperMokh 2014, Pohang Steelers. Saingan dalam kategori bawah 13 tahun akan menampilkan 17 pasukan luar negara dan cabaran negara akan dibawa oleh 3 pasukan projek iaitu Malaysia Cougars B13, Malaysia Tigers B13 dan Malaysia Panthers B13.

Kategori bawah 12 tahun pula diserikan dengan wakil Johan Liga Juara-juara Asia iaitu Guanzhou Evergrande (China) yang menghantar pasukan akademinya. Selain itu, pasukan Bunyodkor (Uzbekistan), Sepahan (Iran) serta pasukan-pasukan kelab dari Korea dan Thailand serta pasukan projek Filipina dan Bangladesh akan cuba disaingi oleh pasukan-pasukan tempatan. Malaysia Cougars B12 dan Malaysia Panthers B12 akan disertai oleh Pasukan Pilihan 1MCC, Bintang Biru, Jeonsa, CIMB-YFA dan Tunas Lagenda bagi membawa cabaran bakat muda negara.

Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim (tengah) ketika sesi bergambar bersama piala
kejohanan di Sidang Media Piala SuperMokh 2015 petang tadi. Turut serta
(bermula dari kiri) ialah Pengarah Pemasaran & Kerjasama Strategik,
Firmansyah Muhammad, Pengarah Pertandingan & Kemudahan, Shamim Imran,
Pengarah Kanan, Safirul Azli Abu Bakar dan Pengarah Kejurulatihan
& Pencarian Bakat, Yakub Hussaini.

Menurut Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar, Kejohanan Piala SuperMokh ini sebenarnya merupakan penutup tirai tahunan bagi semua Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) setiap tahun.

“Seperti yang diketahui umum, pasukan projek B13 dan B12 telahpun menjalani siri jelajah Eropah, United Kingdom, Asia dan ASEAN sepanjang tahun ini. Mereka telah mendapat pendedahan antarabangsa yang baik, malah ada daripada mereka baru buat pertama kali merasai pengalaman bermain di negara luar dan program seperti ini berfungsi membina keyakinan diri mereka. Dengan adanya Piala SuperMokh, lebih banyak peluang dapat diberikan kepada pemain tempatan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan luar selain daripada peluang kepada peminat tanahair untuk melihat tahap permainan anak-anak muda kita.”

Para jurulatih yang bernaung di bawah struktur kejurulatihan PPBN pula akan diberi peluang untuk mempelajari berbagai aspek kejurulatihan dan penganjuran pertandingan sepanjang kejohanan ini.

“Kami melihat penganjuran ini sebagai peluang yang baik bagi semua pihak berkepentingan dalam pembangunan bolasepak. Kita juga telah memanggil semua Ketua Jurulatih Akademi Tunas dari seluruh negara bagi membantu menganalisa setiap pasukan yang bertanding. Platfom yang amat sesuai untuk pemain, jurulatih, pengurusan dan peminat tempatan untuk mendapat faedah daripada penganjuran Piala SuperMokh” ujarnya.

Reaksi Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim ketika menjawab
soalan yang diajukan kepadanya.

Lokasi-lokasi pertandingan yang ialah Padang Rumput Tiruan Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil sebagai venue utama, Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam, Kompleks Sukan Maybank Bangi dan Akademi KLFA, Taman Melati. Kejohanan ini akan bermula pada hari Isnin (7 Disember 2015) dan akan berakhir pada hari Ahad (13 Disember 2015).

Sumber - Faliq Firdaus, PlanetBola.
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur