MAKLUMAT TERKINI

Haris mahu pemain muda tetapkan hala tuju dan objektif

15 Mac, 2016

Mungkin terlalu awal untuk pemain-pemain muda terutama yang masih di bawah umur 17 tahun untuk merancang hala tuju mereka terhadap karier mereka sebagai pemain bola sepak, namun itulah satu perkara yang sering kali diterapkan oleh jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bawah 17 tahun, Haris Lajid kepada anak-anak buahnya.

Pengalaman beliau dalam membimbing bakat muda tidak boleh dinafikan kerana pemain-pemain seperti Safiq Rahim, Nazmi Faiz, Nazirul Naim, dan Shahrom Kalam merupakan antara pemain yang menerima didikan beliau sepanjang berkhidmat di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Menurutnya, sebagai jurulatih beliau bertanggungjawab untuk menyediakan pemain muda yang berkualiti tinggi agar dapat bersaing dengan pemain lain apabila tiba di peringkat profesional selain membentuk seorang pemain yang mempunyai hala tuju dan objektif.

Haris Lajid (biru) bertanggungjawab membentuk karakter pemain di usia muda.

"Kebanyakkan pemain muda kini apabila sudah bermain di peringkat tertinggi mereka hanya berada di satu tahap sahaja dan cepat berpuas hati, sedangkan mereka boleh menjadi lebih baik," tegas Haris, yang kini bertindak sebagai penolong kepada ketua jurulatih, Razip Ismail dalam memimpin SSBJ bawah 17 tahun dalam mengharungi cabaran Piala Belia 2016.

Tambahnya:

"Saya selalu tekankan agar pemain saya tidak mudah berpuas hati dan tetapkan objektif mereka sebagai bakal pemain bola sepak profesional. Mereka harus tunjukkan karakter mereka sebagai pemain bola sepak".

Latihan intensiti tinggi diterapkan dalam latihan harian
pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (B17).

Selain itu, aspek akademik tidak diketepikan sama sekali walaupun di dalam kesibukan jadual latihan yang padat. Tatkala mereka bermain di tempat lawan, Haris bertanggungjawab dalam memberi latihan ulangkaji untuk dijawab oleh anak-anak buahnya.

Sumber - Umar Shafiz, PlanetBola
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur