MAKLUMAT TERKINI

KJ puas hati perkembangan PPBN

19 Mei, 2016

MENTERI Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melihat jersi Adidas pada
Majlis menandatangani perjanjian penajaan Adidas kepada PPBN di Kementerian
Belia dan Sukan (KBS), hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Buat julung kalinya dalam sejarah bola sepak di negara ini, dua liga bola sepak diperkenalkan di seluruh negara bagi pemain berumur 10 hingga 17 tahun.

Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata pemain Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang kini mencecah seramai 19,252 pelatih berpeluang menyertai liga tahunan itu.

"Kejohanan ini selari dengan teras penubuhan PPBN untuk menambah kejohanan tempatan peringkat awal," katanya selepas Majlis menandatangani perjanjian penajaan Adidas kepada PPBN di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Bermula Mac lalu hingga Oktober ini, Liga Akademi Tunas dijalankan di enam zon berlangsung seluruh negara bagi pemain berumur 10-12 tahun sementara Liga PPBN diwujudkan bagi pelatih berumur 13-17 tahun.

Khairy berkata, dia berpuas hati dengan perkembangan PPBN yang sudah dua tahun dilancarkan apabila kini mempunyai 123 pusat seluruh negara dengan jurulatih seramai 966 jurulatih.

"Dalam fasa dua PPBN, Akademi Mokhtar Dahari akan selesai pada September 2017 di Gambang, Pahang. Seramai 380 pemain terbaik PPBN akan ditempatkan disitu," katanya.

Katanya, dia mengharapkan PPBN dapat mencapai sasaran 300 pusat latihan menjelang tahun 2020 namun dalam masa sama melahirkan kualiti pemain yang dapat mewakili negara ke Piala Dunia suatu hari nanti.

Sumber – Jumiati Rosly, BH Online, www.bharian.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur