MAKLUMAT TERKINI

Malaysia B-14 terima cabaran Piala Juara-Juara Antarabangsa CP Meiji Bawah 14 Tahun

13 September, 2016

Satu lagi siri pendedahan antarabangsa dapat dimanfaatkan pemain-pemain muda negara apabila Program Pembangunan Bola Sepak negara (PPBN) bersetuju memenuhi undangan kelab ternama Thailand, Buriram United untuk menyertai Piala Juara-Juara Antarabangsa CP Meiji Bawah 14 Tahun yang dijadualkan berlangsung pada 11-14 Oktober 2016, di Buriram, Thailand.

Malaysia B-14 telah diundi bersama Jubilo Iwata (Jepun), Chonburi FC (Thailand), dan Suphanburi FC (Thailand) dalam kumpulan B manakala bagi Kumpulan A, dibarisi pasukan-pasukan seperti Buriram United (Thailand), Laos B-14, Phnom Penh Crown FC dan Bangkok United.

Majlis sidang media dan pengundian kejohanan tersebut telah berlangsung di Stadium I-Mobible, Buriram United pada Sabtu lepas disertai pegawai pasukan-pasukan yang bertanding.

Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) Selangor, Mohd Khushairi Abdul Wahab turut berkongsi pandangan mengenai penampilan skuad elit negara di dalam kejohanan anjuran kelab ternama Liga Perdana Thailand, Buriram United. "Pemain-pemain muda kita sangat mendahagakan pendedahan antarabangsa sebegini. Bukan mudah untuk mendapat jemputan daripada kelab yang ternama di Thailand, seperti Buriram United. Tahap profesionalisme yang tinggi di samping prasarana yang lengkap disediakan penganjur dapat membuka mata pemain dan jurulatih selain daripada barisan pasukan yang bertanding. Pastinya semua pemain teruja untuk mempamerkan persembahan terbaik."

KJRN Selangor, Mohd Khushairi Abd Wahab (kanan) bersama Ketua Media
& Komunikasi PPBN, Faliq Firdaus di Majlis Sidang Media & Pengundian
Piala Juara-Juara Antarabangsa CP Meiji Bawah 14 Tahun pada Sabtu lepas.

Khushairi, 34, merupakan salah seorang jurulatih yang telah diberi tanggungjawab bagi mengetuai saingan skuad bawah 14 tahun ke kejohanan tersebut di samping ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Seramai 18 pemain akan dipilih bagi membawa cabaran negara di Buriram, Thailand yang akan diadakan di Stadium I-Mobile, Stadium Khao Kradong dan Pusat Latihan Chang.

Sumber - Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) / National Football Development Programme (NFDP)

Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur