Sekolah Sukan Bukit Jalil Mara Ke Peringkat Separuh Akhir Liga KPM B-14
4 Oktober, 2016
Kuala Lumpur – Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil (SSBJ) bawah 14 tahun berjaya memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri selepas mengatasi Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSM Pahang) bawah 13 tahun 1-0 di Padang D Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, petang tadi dalam aksi suku akhir Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia Bawah-14 Tahun sekaligus menempah tiket ke peringkat separuh akhir menentang SSN Melaka pada Sabtu ini.
Gol tunggal perlawanan yang berjaya dijaringkan pada perlawanan petang tadi terhasil menerusi sepakan penalti pada minit ke-30 oleh Muhammad Amirul Azzim dari SSBJ. Disebalik jaringan tunggal tersebut, penonton dihiburkan dengan perlawanan yang menarik daripada kedua-dua pasukan.
Menurut ketua jurulatih SSBJ, Wan Rohaimi Wan Ismail, anak-anak buahnya kini menghadapi persiapan akhir dalam masa yang singkat menjelang perlawanan separuh akhir, Sabtu ini.
“Dengan masa yang ada, kita akan cuba mempertingkatkan dan memperkemaskan cara permainan serta sentuhan penyudah yang dilihat agak kurang memuaskan pada perlawanan hari ini.”
Wan Rohaimi Wan Ismail, Ketua Jurulatih SSM Bukit Jalil.
Bercakap mengenai pihak lawan, Wan Rohaimi merasakan anak-anak buah Efendi Abdul Malek (SSM Pahang) telah memberikan cabaran yang baik namun nasib tidak menyebelahi pasukan bawah 13 tahun tersebut.
“SSM Pahang ada banyak peluang tidak digunakan dengan sebaiknya dan mereka memberi tekanan yang hebat, namun mungkin nasib tidak menyebelahi mereka.”
SSBJ dijadualkan akan bertemu SSN Melaka pada Sabtu, 8 Oktober 2016 dalam aksi separuh akhir Liga KPM, manakala Sekolah Sukan Negeri Selangor (SSN Selangor) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) akan mengisi slot kedua separuh akhir kejohanan tersebut.
KEPUTUSAN SUKU AKHIR LIGA BOLA SEPAK KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BAWAH 14 TAHUN.
3 Oktober 2016
SSN Pahang 0-1 SSN Selangor
SSN Melaka 1-0 SSN Terengganu
SSN Perak 1-1 SSM Tunku Mahkota Ismail (SSM Tunku Mahkota Ismail menang sepakan penalti 4-3)
4 Oktober 2016
SSM Pahang (B13) 0-1 SSM Bukit Jalil
Sumber - Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) / National Football Development Programme (NFDP)