MAKLUMAT TERKINI

PERSATUAN BOLA SEPAK KEDAH DARUL AMAN & PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGARA METERAI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN

11 Oktober, 2016


PUTRAJAYA (Selasa, 11 Oktober): Satu lagi langkah ke hadapan di ambil oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk berpadu tenaga membangunkan bola sepak negara dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di antara KFA & PPBN yang berlangsung hari ini di Menara Kementerian Belia & Sukan, Putrajaya.

Menteri Belia & Sukan ,YB Khairy Jamaluddin menyatakan kegembiraannya apabila KFA menjadi persatuan pertama yang memeterai perjanjian persefahaman bersama PPBN.

“Semenjak tahun 2015, PPBN telah pun menawarkan sebarang bentuk kerjasama dengan persatuan-persatuan bola sepak negeri dan kelab yang bernaung di bawah FAM untuk menyelaraskan semua inisiatif pembangunan bola sepak di negeri masing-masing. Saya amat gembira hari ini kerana KFA di bawah naungan YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah menjadi persatuan pertama yang membuat sedemikian”, ujar beliau.

Majlis hari ini juga turut menyaksikan logo Akademi Dato Ahmad Basri (ADAB)diperkenalkan kepada para hadirin dan pihak media.

Upacara Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU)yang berlangsung pada petang tadi
di Menara KBS, Putrajaya. KFA diwakili Dato Paduka Haji Syed Unan Mashri
(Timbalan Presiden KFA) & YB Dato' Aminuddin Omar (Setiausaha Kehormat KFA) manakala
PPBN diwakili Dato' Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) dan
Safirul Azli Abu Bakar (Pengarah Kanan PPBN).

Tambah Khairy:

“KFA bukan sahaja menjadi persatuan yang pertama, malah telah meletakkan nama seorang lagenda pembangunan bola sepak negeri Kedah Darulaman di tempat yang sepatutnya. Semua amat maklum jasa Allahyarham Dato Ahmad Basri Mohd Akil adalah cukup besar bukan sahaja di Kedah, malah di persada bola sepak negara.”

Kerjasama yang termeterai hari ini mengiktiraf sistem PPBN di Kedah sebagai Unit Pembangunan Bola Sepak KFA, menamakan program bola sepak Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah sebagai ADAB iaitu Akademi Elit Remaja KFA untuk remaja berumur antara 13-17 tahun, sekaligus mengangkat KFA dan ADAB sebagai Rakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara. Turut terlibat ialah penyelarasan pusat-pusat PPBN di Kedah di dalam struktur pembangunan bola sepak KFA.

Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA, YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin, Ketua Setiausaha Kementerian Belia & Sukan, Dato’ Lokman Hakim, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail dan barisan tertinggi jawatankuasa KFA.

ASAS –ASAS PERSEFAHAMAN KFA-NFDP

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB

2.1 Peranan dan Tanggungjawab KFA

     2.1.1 Menyediakan ruang pejabat, alat telekomunikasi dan seorang staf pentadbiran sebagai sokongan dan untuk membantu Ketua Jurulatih Remaja Negeri (“KJRN”).

     2.1.2 Memberi kebenaran kepada KJRN untuk menjalankan tugas selaku Pegawai Pembangunan Bola Sepak KFA.

     2.1.3 Mengiktiraf NFDP sebagai Unit Pembangunan Bola Sepak KFA.

     2.1.4 Mengiktiraf semua pusat NFDP di seluruh negeri Kedah sebagai saluran utama pembangunan bola sepak Kedah.

     2.1.5 Mengiktiraf SMK Tunku Anum sebagai ADAB iaitu Akademi Elit Remaja KFA untuk remaja berumur antara 13 dan 17 tahun.

     2.1.6 Mengiktiraf Pusat Latihan Daerah dan Akademi Tunas NFDP sebagai bekalan pemain kepada ADAB.

     2.1.7 Menyedia dan menyelenggara padang-padang untuk latihan. Padang-padang tersebut ialah :-

     (a) Padang Penjara Alor Setar (AKAN DITENTUKAN)
     (b) Stadium Suka Menanti
     (c) Kompleks Hijau Kuning
     (d) Padang INSPIN (AKAN DITENTUKAN)
     2.1.8 Mengendalikan kursus-kursus kejurulatihan yang melibatkan pensijilan untuk jurulatih NFDP.

     2.1.9 Membuat lawatan secara bulanan ke Sekolah Sukan Negeri yang melibatkan Jurulatih dan skuad senior bola sepak Kedah.

2.2 Peranan dan Tanggungjawab NFDP

     2.2.1 Mengiktiraf KFA dan ADAB sebagai Rakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

     2.2.2 Membenarkan KFA menyenaraikan pusat-pusat latihan NFDP di Kedah di dalam struktur pembangunan bola sepak KFA.

     2.2.3 Mengizinkan jenama ADAB/KFA untuk diletakkan di pusat latihan NFDP di negeri Kedah.

     2.2.4 Membenarkan promosi jenama ADAB/KFA dalam semua pertandingan anjuran NFDP di negeri Kedah.

     2.2.5 Bertanggungjawab menyedia dan memberi laporan perkembangan NFDP di negeri Kedah kepada KFA.

     2.2.6 Bekerjasama erat dengan KFA untuk membuka pusat-pusat latihan baru NFDP di negeri Kedah.

Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur