MAKLUMAT TERKINI

PLD Kota Bharu KC sasar kejuaraan berganda Liga PPBN

28 November, 2016

GAMBANG – Pasukan dari pantai timur, Pusat Latihan Daerah (PLD) Kota Bharu Kampung Chengal menyasarkan pengakhiran cemerlang dengan kejuaraan berganda apabila skuad bawah 15 tahun mereka beradu tenaga di dalam Karnival Kebangsaan Liga PPBN 2016 (kategori bawah 13 & 15 tahun) yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bemula esok.

Sasaran tersebut hadir sejurus skuad senior mereka merangkul kejuaraan kejohanan yang sama bagi kategori bawah 17 tahun kelmarin, yang menyaksikan PLD Kota Bharu Kampung Chengal mengenepikan cabaran PLD Kota Setar menerusi tendangan penalti 5-4, setelah terikat tanpa jaringan pada masa penuh perlawanan.

Barisan pemain dan jurulatih PLD Kota Bharu KC yang mengungguli Karnival
Kebangsaan Liga PPBN 2016 bagi kategori bawah 17 tahun, kelmarin.

Menurut Ketua Jurulatih Pusat (KJP) PLD Kota Bharu Kampung Chengal, Mohd Redzuan Daud, kemenangan skuad senior PLD Kota Bharu KC tempoh hari merupakan motivasi terbaik buat skuad bawah 14 tahunnya yang akan bertanding esok.

“Sudah pastinya apabila kami berada di sini, kami mahu berikan yang terbaik. Persembahan terbaik dan bermain sehingga tamat tiupan wisel. Pemain kami sudah cukup bersedia dan mahu bawa pulang kejuaraan berganda”, ujarnya.

Mohd Redzuan turut mendedahkan bahawa para pemainnya sudah meletakkan sasaran pada diri sendiri untuk membawa pulang kejuaraan berganda. Walau bagaimanapun, beliau tidak mahu terlalu menekan skuad bawah 15 tahunnya yang akan bertanding esok dan mahu mereka memberi saingan yang bermakna.

Aksi PLD Kota Bharu KC (putih) ketika menentang Pilihan Sarawak dalam Karnival
Kebangsaan Liga PPBN 2016 bagi kategori bawah 17 tahun.

“Tiada tekanan pada mereka, tetapi sasaran itu harus ada supaya kita dapat beri yang terbaik. Cabaran-cabaran daripada Sekolah Sukan Negeri (SSN) harus kita tempuhi untuk mencapai objektif itu, walaupun kami pernah menewaskan SSN Kelantan, SSN Terengganu dan SSN Pahang sebelum tiba di sini.”

PLD Kota Bharu Kampung Chengal dijadualkan bertemu Pilihan Sabah/WP Labuan esok, sebelum bertemu SSN WP Kuala Lumpur pada hari seterusnya bagi melengkapkan cabaran perlawanan Kumpulan A bagi kategori bawah 15 tahun.

Sumber - Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) / National Football Development Programme of Malaysia (NFDP).
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur