Piala SuperMokh 2016 tarik penyertaan akademi ternama dunia
7 Disember, 2016
KUALA LUMPUR (6 Disember, 2016) – Kalendar Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tahun ini akan melabuhkan tirainya dengan penganjuran kejohanan antarabangsa Piala SuperMokh bermula pada 11 Disember hingga 18 Disember ini, dengan penyertaan daripada akademi-akademi ternama dunia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPBN, Safirul Azli Abu Bakar, kemampuan menarik minat akademi-akademi ternama dunia dalam menyertai Piala SuperMokh pada edisi kali ini adalah hasil daripada jaringan hubungan yang kuat antara PPBN dengan akademi-akademi bertaraf antarabangsa di seluruh dunia.
“Setiap kali kami lakukan siri perlawanan persahabatan di peringkat Eropah mahupun Asia, sudah pasti kami tidak pergi atas nama perlawanan bola sepak semata-mata, malah ianya lebih dari itu. Saban tahun hubungan PPBN dengan akademi-akademi ternama dunia semakin erat, secara tidak langsung kami mempromosikan inisiatif-inisiatif kami bagi menarik minat mereka.
“Sudah tentu dengan penyertaan akademi-akademi ternama pada kali ini, akan meningkatkan lagi mutu pertandingan dan umum akan disajikan dengan persembahan dan pertembungan bakal bintang-bintang dunia, sekaligus dapat berkongsi manfaat dengan pasukan-pasukan tempatan”, ujar Safirul yang mengesahkan penyertaan skuad tempatan sebanyak 4 pasukan bagi kategori bawah 12 tahun dan 6 pasukan bagi kategori bawah 14 tahun.
Malaysia Cougars B-14 antara salah satu pasukan yang akan sertai Piala SuperMokh 2016
Safirul turut menyatakan bahawa penglibatan pasukan-pasukan dari Eropah akan menambah satu elemen yang menarik di dalam penganjuran Piala SuperMokh bagi edisi kali ini.
“Umum sudah mengetahui apabila skuad elit bawah 13 tahun ke Jelajah Eropah pada tahun lepas, mereka telah menewaskan Sporting CP di dalam perlawanan akhir Piala Iber Costa Del Sol dengan jaringan 2-1.
“Namun, selepas itu mereka tewas di tangan kelab Perancis, Paris Saint-Germain di dalam saingan suku akhir Piala Iber Estoril. Kedua-dua kelab ini akan turut serta di dalam edisi Piala SuperMokh kali ini, seolah-olah meneruskan perseteruan mereka sebelum ini”, tambah beliau sambil memaklumkan penampilan semula Manchester City dari England bagi edisi tahun ini sebagai juara bertahan Piala SuperMokh kategori bawah 13 tahun.
Struktur akademi di Sporting CP dikenali sebagai kilang melahirkan pemain-pemain Portugal bertaraf dunia seperti Cristiano Ronaldo, Luis Figo, Nani dan Ricardo Quaresma. Paris Saint-Germain pula dikenali sebagai tapak permulaan kerjaya bagi pemain-pemain Perancis seperti Nicolas Anelka dan Mamadou Sakho. Tidak ketinggalan, Sao Paolo yang telah melahirkan pemain-pemain ternama Brazil seperti Kaka, Oscar dan Lucas Moura akan turut serta bertanding.
Berbeza dengan edisi sebelumnya, penganjuran Piala SuperMokh pada tahun ini akan mengekalkan kategori bawah 12 tahun manakala kategori bawah 14 diperkenalkan menggantikan kategori bawah 13 tahun yang dianjurkan pada tahun lepas. Sebanyak 16 pasukan akan bertanding di dalam kategori bawah 12 tahun dan 20 pasukan bertanding di dalam kategori bawah 14 tahun.
Padang sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil dipilih sebagai gelanggang akhir kejohanan, disamping gelanggang-gelanggang lain iaitu Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Akademi Maybank Bangi, TSI Arena Cyberjaya, dan Padang UiTM-Perindu Shah Alam melengkapkan senarai gelanggang kejohanan.
Perlawanan pertama kedua-dua kategori akan bermula pada Isnin hadapan (12 Disember 2016) dan akan diakhiri dengan perlawanan akhir pada Ahad (18 Disember 2016).
#SMC2016 #SuperMokhCup
PIALA SUPERMOKH 2016 (B12 & B14 TAHUN) – 11 – 18 Disember 2016.
KATEGORI BAWAH 12 TAHUN
- Malaysia Cougars
- Malaysia Panthers
- Malaysia Tigers
- NFDP Terengganu (Malaysia)
- Foolad Mobarakeh Sepahan (Iran)
- Evergrande Football School (China)
- Saint Prima (Indonesia)
- FF South Australia (Australia)
- Buriram United (Thailand)
- Byulnae FC (Korea Selatan)
- Brunei
- FC Bunyodkor (Uzbekistan)
- Guri Junior FC (Korea Selatan)
- FC Spartak Tashkent (Uzbekistan)
- Gimpo JIJ FC (Korea Selatan)
- Sporting CP (Portugal)
KATEGORI BAWAH 14 TAHUN
- Malaysia Cougars B-14
- Malaysia Panthers B-14
- Malaysia Tigers B-14
- Malaysia Cougars B-13
- Malaysia Panthers B-13
- NFDP Selangor (Malaysia)
- Bangladesh
- Foolad Mobarakeh Sepahan (Iran)
- Thailand
- Saswco FC (Indonesia)
- Buriram United (Thailand)
- FC Bunyodkor (Uzbekistan)
- Seongnam FC (Korea Selatan)
- Kawasaki Frontale (Jepun)
- FC Seoul (Korea Selatan)
- Shonan Bellmare (Jepun)
- Paris Saint-Germain FC (Perancis)
- Sao Paulo FC (Brazil)
- Manchester City FC (England)
- Sporting CP (Portugal)
‘Venue’ Kejohanan
- Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur
- Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam
- Akademi Maybank, Bangi
- TSI Arena, Cyberjaya
- Padang UiTM-Perindu, Shah Alam
Mengenai Piala SuperMokh
Piala SuperMokh buat julung kalinya dianjurkan pada tahun 2014 sebagai satu penghormatan kepada lagenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari dan bertindak sebagai penanda aras bagi Progam Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dalam mengukur keberkesanan dan pelaksanaan program dengan negara-negara di rantau ASEAN, Asia dan juga Eropah. Piala SuperMokh merupakan pelengkap kalendar PPBN bagi setiap tahun dan menghimpunkan pasukan-pasukan akademi terbaik dari Asia dan Eropah, bertanding menentang pasukan-pasukan tempatan.
Sebarang pertanyaan lanjut , sila hubungi:
Unit Media dan Komunikasi PPBN - 03-8992 9073
Faliq Firdaus - 012- 9039660 /
faliq@nfdp.my
Amir Syauqi – 017-3825425 /
amir@nfdp.my
Sumber - Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) / National Football Development Programme of Malaysia (NFDP).