MAKLUMAT TERKINI

Luka Lama Masih Terasa

18 Disember, 2016

HARITH (kiri) bersaing dengan pemain FC Bunyodkor Buriev Abdurauf (dua dari kiri)


Kuala Lumpur: Ketua pasukan Sporting CP Rodrigo Rego mengakui masih terasa dengan kekalahan di tangan skuad bawah 14 (B-14) Malaysia Cougars dalam aksi final Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol tahun lalu.

Justeru, dia menuntut rakan sepasukannya melunaskan ‘dendam’ itu apabila bertemu pada final Piala SuperMokh 2016 di Padang Sintetik D, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, jam 4.30 petang ini.

Rego yang menyimpan rambut seperti idolanya bintang pertahanan tengah Chelsea David Luiz berkata, kekalahan itu amat mengecewakan namun dia masih percaya pengendali pasukan Pedro Vilhena Coelho pasti mempelajari sesuatu ketika sekali lagi ‘berperang’ dengan pasukan sama.

“Saya harap rakan sepasukan dapat memberi tumpuan sepenuhnya perlawanan esok (hari ini). Peluang bertemu sekali lagi perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mendapatkan kemenangan.

“Berdepan mereka (B-14 Malaysia Cougars) bukan tugas mudah kerana mereka juga pasti akan bermain mati-matian untuk menang.

“Tapi, kami juga mahu kemenangan dan bersedia untuk mencipta kebangkitan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi peringkat separuh akhir yang menyaksikan akademi dari Portugal itu melakar kemenangan 2-1 ke atas Sao Paulo dari Brazil, semalam.

Skuad bola sepak Bawah 13 (B-13) Malaysia di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber Costa del Sol 2015 di Sepanyol.

Dalam perkembangan sama, pengendali pasukan Pedro Coelho bakal melakukan beberapa rombakan kecil bagi menghadapi aksi final itu.

“Mungkin saya membuat beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama bagi perlawanan esok. Saya lihat persembahan pasukan tuan rumah semakin baik. Saya rasa final nanti pastinya lebih sengit daripada aksi di final Piala Iber.

“Malah, faktor bermain di depan penyokong sendiri juga akan memberi kelebihan kepada tuan rumah. Sebab itu saya akan merombak sedikit taktikal pasukan khusus untuk pertemuan itu,” katanya.

Sumber - Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur