MAKLUMAT TERKINI

Legenda Man U beri inspirasi NFDP

11 Mac, 2018



KUALA LUMPUR: Kehadiran legenda Manchester United, Dwight Yorke, David May dan Denis Irwin di ibu negara dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelatih Program Pembangunan Bolasepak Nasional (NFDP) untuk menimba ilmu, mendapatkan kata-kata semangat serta panduan menjadi pemain hebat.

Yorke, May and Irwin yang mengikuti jelajah #ILOVEUNITED meluangkan masa dengan menghadiri klinik bola sepak anjuran Adidas Malaysia dan Manchester United di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, petang tadi.

Paling menarik perhatian adalah kesudian Yorke berkongsi liku-liku perjalanan kariernya dari Trinidad and Tobago untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan mewakili kelab gergasi Inggeris.

"Saya berusaha keras, saya berlatih dan tidak pernah berputus asa kerana saya sudah menetapkan sasaran untuk mencapai sesuatu ketika berusia 13, 15 dan 17 tahun. Sepanjang karier, saya sentiasa mahukan kejayaan," kata bekas pemain berusia 46 tahun itu.

Selain berkongsi cerita mengenai inspirasi mereka untuk menjadi pemain bola sepak di usia muda, trio itu juga menekankan mengenai kepentingan pendidikan, latihan dan impian besar.

"Pendidikan sangat penting. Anda mengikuti sesi persekolahan pada sebelah pagi dan bola sepak pada sebelah petang. Ia bagus jika anda dapat mengimbangi kedua-dua ini dan di Malaysia, anda berada di akademi ini dan memiliki jurulatih terbaik dan pendidikan terbaik," kata Irwin.

Sama seperti Irwin, May mengakui bukan hanya pendidikan sebaliknya impian besar turut menjadi faktor kejayaanya.

"Perlu menyimpan impian besar kerana itu yang mendorong kejayaan. Saya mahu memenangi Piala FA ketika masih muda dan saya berjaya melakukannya di depan ribuan penyokong.

"Ia sesuatu yang menakjubkan tetapi kejayaan itu adalah hasil daripada diri saya sendiri, keinginan, latihan dan itu yang perlu dilakukan oleh pemain muda," kata May.

Kesempatan meluangkan masa bersama pemain legenda itu dilihat tepat pada masanya ketika skuad bawah-13 dan 15 tahun akan menyertai kejohanan di Perancis dan Hong Kong pada bulan ini dan April depan.

Artikel dan gambar asal daripada Berita Harian (11 Mac 2018)
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur