Bola sepak negeri perlu acuan NFDP
30 Mei, 2018
SHAH ALAM - Akademi Persatuan Bola Sepak Negeri dilihat perlukan acuan serupa dalam aspek pembangunan pemain muda melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFTD).
Ini kerana menurut Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad, pada masa ini NFDP adalah jauh ke hadapan daripada sudut pembangunan bola sepak belia, dan jurang yang jelas dapat dilihat berbanding kebanyakan Persatuan Bola Sepak Negeri.
Katanya, keberkesanan NFTD jelas dengan pencapaian di peringkat antarabangsa termasuk kejohanan di Eropah seawal usia 13 tahun.
Malah katanya, kejayaan ini bukan sahaja menyebabkan pemain negara menjadi tarikan kelab Eropah, malah Malaysia juga berjaya menarik minat negara luar untuk bertanding dalam kejohanan Piala Supermokh termasuk kelab seperti PSG dari Perancis, Sporting CP (Portugal), Sevilla (Sepanyol), Kashima Antlers (Jepun), FC Seoul (Korea) dan lain-lain lagi.
Katanya, setelah lebih lima tahun program ini dijalankan, NFDP mempunyai lebih 25,000 pelatih beserta lebih 1,000 jurulatih di seluruh Malaysia dan ini merupakan perkembangan baik dengan sasaran mencapai 50,000 pelatih pada 2020.
“Kita perlu teliti semula struktur pembangunan bola sepak akar umbi dan jika boleh memperluaskan modul latihan NFDP sehingga ke akademi Persatuan Bola Sepak Negeri dan kelab-kelab Liga Malaysia.
“Antara yang boleh diusahakan juga adalah dengan menempatkan pelatih dan jurulatih NFDP di Persatuan Bola Sepak Negeri agar nilai latihan boleh diterap dengan lebih baik,” katanya melalui kenyataan mdia, hari ini.
Beliau berkata, pada masa yang sama asas akademi juga harus diperkukuh dan ini memerlukan pelaburan wang yang lebih.
“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digalakkan memberi kerjasama di dalam hal ini dengan menyediakan insentif pembangunan bola sepak akar umbi untuk Persatuan Bola Sepak Negeri dan kelab-kelab bola sepak, di samping memperkukuhkan kerjasama dengan liga-liga komuniti,” katanya.
Selain itu katanya, apa yang menjadi keutamaan adalah menitikberatkan aspek pencarian bakat melalui satu sistem pencarian bakat.
Katanya, penglibatan sekolah-sekolah serta akademi bola tempatan amatlah penting di dalam hal ini selain bakat-bakat kampung dan pemain bola sepak jalanan juga perlu diberi perhatian.
“Malaysia perlu membentuk satu ‘scouting system’ bertaraf antarabangsa agar tiada bakat yang terlepas,” katanya.
Menurutnya, aspek kemudahan latihan juga perlu diambilkira andai mahu mencapai aspirasi untuk ke Piala Dunia.
“Jika Malaysia hendak mencapai aspirasi untuk ke Piala Dunia, kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan bakat yang ada. Bakat haruslah digilap di dalam satu ekosistem kesukanan yang baik.
“Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari kini telah menetapkan standard yang diperlukan terutamanya untuk skuad elit bola sepak. Dikhabarkan beberapa ahli skuad akademi ini telah menarik perhatian kelab gergasi Eropah, ini cukup membanggakan,” katanya.
Artikel dan gambar asal daripada Sinar Harian (30 Mei 2018)