MAKLUMAT TERKINI

Trio AMD teruja wakili PSG

19 Jun, 2018

Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my



SEPANG: Tiga tonggak Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) melakar sejarah baharu apabila dijemput mewakili skuad utama Paris Saint-Germain (PSG) Bawah 13 tahun (B-13) dalam salah satu saingan terulung Eropah di Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali dari 21-24 Jun ini.

Pemain bertuah berkenaan ialah Hazriq Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish dengan PSG pada setiap tahun memberi peluang buat pemain untuk mewakili kelab Perancis itu dalam mana-mana kejohanan sebelum ditawarkan kontrak apabila mereka mencecah usia 18 tahun nanti.

Peluang keemasan itu tidak seharusnya disia-siakan ketiga-tiga mereka yang kini dilihat sudah sebelah kaki berjaya menempatkan diri untuk beraksi di bumi Eropah.

Hazriq Haqqim, 13, yang dinobatkan selaku penjaga gol terbaik di Piala Joinville di Perancis April lalu, mempunyai sesuatu yang mahu dibuktikannya dan berharap peluang itu dapat menjadi titik permulaan kepada lebih ramai pemain negara beraksi di luar negara.

"Semua orang tahu ramai pemain-pemain terbaik dunia bermain di PSG, jadi saya amat teruja dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari tempat dalam pasukan.

"Saya tahu saingan pasti sukar tetapi ia tidak mustahil. Saya harap dapat menampilkan aksi terbaik agar mereka berminat dan dapat buka pintu seluas-luasnya untuk pemain dari Malaysia bermain di sana," katanya yang mengakui meminati penjaga gol Manchester United dan Sepanyol, David de Gea.

Ketiga-tiga mereka akan mendapat peluang bersaing dengan kelab-kelab tersohor lain di kejohanan itu seperti AS Roma, Lazio, Juventus, Inter Milan dan Atletico Madrid.

Sekiranya prestasi mereka dikekalkan atau ditambah baik setiap tahun, maka kemungkinan kita akan dapat saksikan pemain Malaysia bermain di liga utama Eropah dan Asia sedikit masa lagi.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya sentiasa menyokong penuh usaha AMD dalam melahirkan pemain berkualiti sekali gus mencipta nama di persada dunia.

"Hari ini kita gembira apabila ada pemain-pemain muda kita berjaya mendapat tempat di Eropah. Bukan mudah untuk mengetuk pintu kelab-kelab besar seperti PSG ini, namun saya percaya bakat pemain kita ini cukup hebat dan mampu meraih keputusan terbaik nanti," katanya.

Artikel asal daripada Berita Harian (19 Jun 2018)
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur