MAKLUMAT TERKINI

Bola Shebby: Perkasa barisan kejurulatihan seiring Program NFDP

4 Ogos, 2018



Minggu lalu boleh dianggap sebagai sangat memenatkan minda kita kerana bola sepak Malaysia sekali lagi berkisar dengan isu lama. Jika ada yang baru pula ia mendedahkan pemikiran cetek yang melanda sukan itu, perkara remeh yang dibangkitkan kembali seolah-olah ia adalah krisis negara.

Belum sempat ingin mengucapkan tahniah kepada pemimpin baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), timbul pula perkataan naturalisasi - satu perkara yang sudah amat membosankan.

Alasan saya perlu dilihat daripada dua sudut.

Sudut pertama adalah cita- cita. Ada separuh jurulatih danpenyokong menggunakan Jepun serta Perancis sebagai contoh di mana pemain naturalisasi digunakan untuk mencapai objektif tertentu dan jelas ia sangat berjaya.

Apa pula objektif kita? Untuk menjuarai Piala AFF Suzuki? Untuk tampil ke Piala Dunia?

Di sini, kita harus berfikir panjang sebelum membuat kesimpulan dan menyamakan kita dengan Jepun atau Perancis.

Kita tidak memerlukan pemain naturalisasi untuk bersaing di rantau Asia Tenggara. Saya lebih gemar mengambil contoh Uruguay yang hanya mempunyai rakyat kira-kira 3.5 juta, mengikut hitungan 2016. Tetapi mereka melahirkan pemain bertaraf dunia.

Ini disebabkan dua faktor - pembangunan bola sepak membabitkan kejurulatihan bertaraf dunia dan semangat juang pemain yang tidak boleh dinafikan.

Di negara ini, kita perlukan peningkatan ‘coach education.’ FAM dan setiap FA negeri atau kelab harus menghantar barisan jurulatih ke luar negara untuk menambah ilmu. Bagi jurulatih setiap peringkat, adalah amat mustahak untuk meningkatkan ilmu dari semasa ke semasa.

Jurulatih harus merasai suasana serta elemen yang mencabar sebelum boleh mendidik pemain di semua peringkat. Sudah kerap kedengaran bahawa bola sepak Malaysia akan meningkat sebaik saja pemain pemain dari Program NFDP matang.

Apa yang kita dengar ialah pemain NFDP akan mencetus revolusi bola sepak apabila mereka bermain di negeri atau kelab nanti.

Kita harus faham bahawa NFDP mementingkan keputusan dan akan berjaya melahirkan sebuah pasukan yang mempunyai 25 pemain yang baik. Semua mereka akan pulang ke negeri masing masing dan sedikit demi sedikit, mereka akan diserap dalam satu sistem yang begitu buruk, sekali gus merosakkan.

Kita sedia faham bahawa ramai yang menerima pendidikan bola sepak di bawah NFDP tetapi apa pula “progression planning” untuk mereka?

Di sini saya ingin berkongsi pendapat supaya NFDP jangan jadi seperti Sekolah Sukan Negara atau Sekolah Sukan Negeri.

Kita tidak mahu melihat ulang tayang Program Harimau.

Apabila ingin melahirkan pemain bola sepak, pelajaran jangan diabaikan. Sekurang-kurangnya, dapat membezakan antara bendera negara Poland dan Indonesia.

Kita berharap semua pihak tertentu tidak akan terus melatah kerana ejekan penonton. Kita harus membuktikan kejantanan kita dan jangan membesarkan apa saja isu.

Sebagai pemain bola sepak, ejekan dan cemuhan sudah menjadi darah daging.

Artikel dan gambar asal daripada Harian Metro (4 Ogos 2018)
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur