MAKLUMAT TERKINI

'Kami dah tak sabar'

19 September, 2018

Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my



PETALING JAYA: Kapten skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Muhammad Hariz Mansor menyifatkan dia dan rakan sepasukan lebih teruja berbanding tertekan menjelang pertemuan menentang Tajikistan pada aksi pembukaan saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang esok.

Menurut pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, biarpun harapan besar diletakkan di atas bahu mereka untuk mencari kemenangan pertama dalam misi untuk layak ke Piala Dunia B-17 2019 di Peru tahun depan, dia mengakui langsung tidak tertekan dengan situasi itu.

Sebaliknya, tonggak pertahanan tengah tinggi lampai itu menyifatkan ia sebagai pemangkin semangat untuk melakar sejarah baharu dengan mara buat kali pertama di pentas tertinggi dunia itu.

"Kami sebagai pemain anggap tekanan ini perkara biasa dan semua pemain tahu bagaimana untuk mengatasinya.

"Kami perlu menggalas tanggungjawab ini demi membanggakan negara. Berdasarkan pemerhatian saya, semangat dan motivasi rakan sepasukan sangat baik.

"Selepas empat tahun kami bergelut membuat persediaan untuk kejohanan ini, masing-masing sudah tak sabar untuk bermain dan cuba membawa Malaysia layak ke Piala Dunia," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Skuad kendalian Lim Teong Kim yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada 2014 lalu, perlu melangkah hingga ke separuh akhir bagi memastikan tiket ke Piala Dunia berada dalam genggaman.

Justeru, Hariz mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak mensia-siakan empat tahun perjuangan dan pengorbanan mereka berlatih selama ini dengan menjadikan Tajikistan sebagai mangsa pertama.

"Sepanjang tempoh latihan, jurulatih banyak mencurahkan ilmu kepada kami untuk menjadi seorang pemain yang baik.

"Perlawanan pertama esok penting dan kami akan beraksi bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan sekali gus mencerahkan laluan kami ke peringkat seterusnya," katanya yang menyimpan hasrat untuk bermain bersama kelab hebat seperti Gamba Osaka atau Chelsea.

Artikel asal daripada Berita Harian (19 September 2018)
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur