MAKLUMAT TERKINI

Dollah Sedia Ambil Pemain Naturalisasi

21 Mac, 2015

PEMAIN-PEMAIN Harimau Malaya tetap menjalani latihan walaupun cuaca hujan di
Wisma FAM, Petaling Jaya, Selangor semalam. Skuad negara akan menentang Oman
dalam perlawanan persahabatan di Muscat pada 26 Mac ini.
UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN


KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh bersedia membuka pintu kepada mana-mana pemain naturalisasi jika mereka layak diketengahkan untuk mewakili skuad bola sepak kebangsaan di masa hadapan demi kepentingan negara.

Jelas pengendali berusia 51 tahun itu, pemain naturalisasi mempunyai fizikal yang lebih baik dan cepat matang berbanding pemain tempatan, dua kriteria yang mampu melonjakkan kualiti dalam skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun Dollah berkata, pemain naturalisasi yang dimahukan mestilah memiliki ciri-ciri yang membolehkannya mendapat kerakyatan seperti ayah atau ibu mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

“Sebagai seorang jurulatih, siapa tidak mahu pemain sebegini (naturalisasi) dan dalam soal ini, memang saya terbuka dan mahukan pemain-pemain yang mempunyai darah kacukan menyertai pasukan Malaysia.

“Kita tengok pemain yang khas datang dari Australia dan Eropah mempunyai kekuatan dari segi fizikal, namun kalau setakat nampak sasa sahaja tetapi permainan tidak seperti yang diharapkan, susah juga.

“Namun, dalam soal ini saya tengok permainan Brendan Gan dan Junior Eldstal, nampak cukup bagus dan pemain-pemain ini ada kualiti tersendiri yang boleh membantu pasukan. Kalau boleh saya mahukan pemain-pemain seperti mereka di bahagian serangan,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM semalam.

Junior yang merupakan kacukan Sweden-Sabah memegang pasport Malaysia kerana lahir di sini, sementara bekas pemain Sydney FC, Brendan (Australia-Negeri Sembilan) yang lahir di Australia mendapat kerakyatan pada tahun lalu hasil bantuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Tambah Dollah, dia mengambil contoh kualiti yang ada pada Junior sebagai aset yang cukup bernilai walaupun berasa terkilan kerana tidak dapat menguji khidmat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam perlawanan persahabatan dengan Oman.

“Junior contohnya, sebelum ini saya tidak pernah minat pada dia tetapi selepas menonton dua perlawanan JDT, saya kagum tengok semangat juang dia yang sentiasa bekerja di padang.

“Ciri-ciri seperti ini yang saya inginkan, malah pada umur 22 ke 23 tahun, dia tampak sudah matang seolah-olah seorang pemain yang berpengalaman,” katanya.

Dalam masa sama, Dollah mengesahkan dia sedang berusaha membantu seorang pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia mendapatkan kerakyatan negara ini.

“Saya baru-baru ini ada membantu seorang pemain yang difahamkan ayahnya berasal dari Sabah tetapi berdepan sedikit masalah mendapatkan kerakyatan Malaysia, urusan ini bukan sesuatu yang mudah.

“Jika tiada maklumat lengkap, memang agak sukar untuk kami membantu jika asal-usul pemain itu tiada kaitan dengan Malaysia bagi memohon kerakyatan,” katanya, yang bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain itu.

Sumber - MUHAMMAD DAYNE AZMIN, Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur