Ganti De Paula!
21 Mac, 2015
Kuala Lumpur: Penyokong Selangor menggesa Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memanfaatkan jendela kedua perpindahan pemain yang akan dibuka bulan depan bagi mendapatkan penyerang baru bagi menggantikan Guilherme De Paula.
Penyerang import dari Brazil berkenaan dilihat gagal membantu Merah Kuning menggegar gawang seperti diharapkan dan selepas lima perlawanan Liga Super serta dua aksi Piala FA, dia sekadar meledak tiga gol sekali gus menimbulkan kegelisahan dalam kalangan peminat.
“Sekiranya tidak berdepan kekangan kewangan, langkah untuk menukar De Paula amat perlu. Setiap pasukan mahu menang perlu menjaringkan gol dan tidak hanya mengharapkan nasib dan situasi bola mati. Jika tiada pertukaran, saya fikir usaha Selangor muncul juara Liga Super atau mara ke Piala AFC tahun depan adalah sukar.
“Sekiranya ada peluang dan tidak merugikan dalam aspek pampasan, FAS perlu gunakan peluang menukar pemain ini. Tidak dinafikan dia mempunyai kerajinan, namun tidak mempunyai kemampuan untuk meledak gol,” kata jurucakap SelangorFC.com (SFC) Mohd Firdaus Abdul Mutalib.
De Paula dipancing Selangor selepas terpaksa melepaskan penjaring terbanyak Liga Super 2014 Paulo Rangel yang mahu berhijrah ke Terengganu musim ini.
Bagaimanapun harapan tinggi diletakkan kepada pengganti Rangel berkenaan meleset apabila dia masih belum menyerlah seperti diharapkan.
“Bagi saya, sehingga sekarang semua pemain import Selangor berkesan kecuali De Paula. Bukan saya saja namun seluruh peminat Selangor pasti kecewa,” kata Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC) Mohd Faizal Wahid yang turut menyuarakan kegelisahannya.
Jelasnya, kenyataan pengendali Selangor Mehmet Durakovic (gambar) baru-baru ini ketika menjelaskan tidak akan berlaku perubahan terhadap barisan pemain importnya adalah sesuatu yang dikesalkan.
“Mungkin hanya beliau seorang yang mengetahui jawapannya apabila mengeluarkan kenyataan itu, mungkin lima perlawanan (Liga Super) baginya masih terlalu awal menilai pemain, namun saya rasa penyerang import pasukan lain sudah menonjol. Mereka sudah menjaringkan gol walaupun hanya dua atau tiga perlawanan tapi De Paula sebaliknya.
“Bagaimanapun kami sebagai penyokong hanya mampu memberikan pandangan terpulang kepada pihak pengurusan untuk membuat kata putus,” katanya.
Bagaimanapun Faizal memuji tindakan pengurus baru Selangor Amirudin Shari kerana bijak mengawal dan mempunyai persefahaman baik dengan penyokong Merah Kuning.
Sumber - Azlan Muhammad Zain, azlanmz@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my